By Tree Light

Sistem monarki empayar Perancis dijatuhkan dan berakhir kerana rakyat Perancis yang merusuh dan menyerang Istana Bastille bukan hanya untuk mencari senjata, tetapi lebih penting untuk mencuri gandum.

Revolusi Perancis kerap kali malah sering dilihat sebagai sebuah revolusi yang menggegar serta merubah landskap dunia pemerintahan di Eropah. Revolusi Perancis juga sering dikaitkan menjadi titik perubahan pemerintahan benua Eropah namun sebelum itu iaitu pada tahun 1688 kerajaan Inggeris telah mendahului pembentukan sistem politiknya berbanding negara-negara jirannya.

Kebanyakan negara di benua Eropah telah mengamalkan corak pemerintahan Monarki yang mana sistem ini dilihat mampu untuk mengawal dan membentuk masyarakat dengan lebih baik pada era tersebut. Dalam mengekalkan pemerintahan Monarki ini yang mempunyai kuasa mutlak, tindakan pemerintah adalah dengan meletakkan orang-orang kepentingannya di kalangan bangsawan di daerah kekuasaan mereka dengan cara diberikan hak keistimewaan untuk memastikan kekuatan kepentingan mereka di tanah-tanah jajahan tersebut dapat dikawal.

Selain dari kepentingan bangsawan, golongan atasan ini juga harus mengekalkan hubungan yang baik dengan pihak Gereja ekoran semasa era tersebut Institusi Gereja telah terpisah pentadbirannya daripada pemerintahan di bawah Kuasa-Kuasa Raja. Perhubungan ini harus dijaga bagi mengekalkan kepentingan kedudukan dan relevennya penguasaan pemerintahan golongan raja itu sendiri.

Secara kasar, pihak raja memerintah mengikut cara mereka sendiri dengan menghadkan kekuasaan oleh golongan yang mempunyai kepentingan dalam kerajaan. Ramai sejarawan bersependapat bahawa pemerintahan di Eropah lebih bercorakkan kebangsawanan dan feudal. Di dalam corak pemerintahan Perancis, telah dipecahkan tiga kelompok yang dikelaskan dengan nama Estet Pertama, Kedua dan Ketiga.

Estet Pertama adalah golongan Gereja yang terdiri daripada Paderi atau Pendeta. Golongan ini merupakan golongan yang terpenting kerana institusi agama di Perancis amat kaya dan kukuh malah lebih kukuh daripada kerajaan Perancis itu sendiri. Institusi ini mengendalikan rumah-rumah anak yatim, universiti-universiti, harta-harta serta cukai dan lain-lain lagi. Dengan sumber kekayaan institusi inilah ia dijadikan penyebab pihak pemberontak menyerang mereka dan sentiasa menjadi tumpuan perompakan.

Estet Kedua terdiri daripada kalangan yang diberikan Gelaran, Pangkat atau pemberian hak-hak istimewa dari Raja. Menurut sejarah, pembentukan Perancis bermula dari himpunan daerah-daerah kecil yang sering berperang sesama sendiri. Pengabungan daerah-daerah kecil ini terhasil dari ganjaran berupa pangkat ke atas kepemimpinan sesebuah daerah kecil dengan cara menyokong dan memberikan segala bantuan samada harta atau ketenteraan agar Raja terus berkuasa. Antara hak keistimewaan ke atas golongan ini adalah mereka tidak perlu membayar cukai kepada kerajaan namun mempunyai kuasa penuh mengutip cukai daripada rakyat yang menghuni di tanah mereka tersebut.

Estet Ketiga pula adalah golongan rakyat biasa berlatar belakangkan dari petani yang miskin sehingga pedagang-pedagang dan saudagar-saudagar kaya. Perlu dijelaskan bahawa pada ketika itu golongan bangsawan dan saudagar borjuis adalah dua entiti yang berbeza. Bangsawan adalah puak yang diberikan pangkat, hak keistimewaan atau kuasa yang diberikan oleh Raja. Manakala saudagar Borjuis pula adalah kaum yang berniaga atau mempunyai sesuatu yang diniagakan secara sederhana dan kecil-kecilan.

Salah satu punca tercetusnya Revolusi Perancis adalah kerana ketika berlakunya kemelesetan ekonomi tuan tanah dan pihak berkepentingan tetap mengenakan cukai tanah dengan kadar yang sama sewaktu sebelum berlakunya kemelesetan ekonomi. Susulan itu akibat dari kekurangan bekalan makanan dan hasil tuaian yang tidak baik telah mengakibatkan harga gandum naik secara mendadak.

Rentetan dari kekurangan bekalan makanan ini telah menimbulkan masalah dari sektor pertanian sehingga ke sektor perindustrian dan menyebabkan pengangguran meningkat naik dan pekerja bergaji kecil perlu melakukan kerja lebih masa dan ada juga yang perlu bekerja sampingan bagi menampung keperluan bekalan harian.

Isu campur tangan Perancis dalam Perang Kemerdekaan Amerika juga menjadi antara punca awal berlakunya Revolusi Perancis. Selain isu tuntutan agar mengutamakan golongan bangsawan yang berjawatan tinggi dalam kerajaan juga merupakan babak kebangkitan kaum bangsawan sendiri setelah sedar akan kepincangan politik Monarki.

Golongan Bangsawan telah membenarkan cukai dikenakan terhadap mereka untuk dikutip oleh Raja Louis hanya setelah berlaku beberapa perdebatan di sidang Parlimen. Dari sidang Parlimen inilah munculnya kebangkitan awal kebencian rakyat kepada sistem ekonomi Raja Louis. Walaupun belum wujud lagi fahaman antimonarki namun rakyat kebanyakan mengharapkan agar Raja Louis dapat melakukan beberapa perubahan secara drastik.

Lanjut dari ketidakpuasan hati dari sistem sebulat suara iaitu suara Estet Ketiga telah dinafikan susulan daripada gabungan Estet Satu dan Estet Dua, Estet Ketiga telah dihalangi dari memasuki persidangan Parlimen dan mengakibatkan aksi mogok terhadap sistem itu sendiri. Estet Ketiga telah menang dalam bersuara secara adil namun masih disekat kebebasan bersuaranya.

Bermula dari golongan Paderi yang mula menyokong Estet Ketiga, Raja Louis yang nampak akan hal ini berlaku telah mula berkompromi dengan melakukan pelbagai pujukan kepada pihak Estet Ketiga namun ianya telah ditolak mentah-mentah oleh Estet Ketiga. Tidak cukup sekadar itu, tawaran Raja Louis kepada Estet Pertama dan Estet Kedua juga tidak diendahkan, menyebabkan terjadinya permulaan penyatuan untuk menjatuhkan kuasa raja secara penuh.

Krisis ketiga-tiga estet ini kian meruncing dan tidak hanya terhenti di pergolakan terhadap istana sahaja, tetapi tuan tanah juga turut diserang oleh golongan petani miskin malah daerah-daerah kecil juga telah melantik dan membentuk jawatankuasa mereka sendiri dan mempunyai tentera mereka sendiri di daerah masing-masing.

Dengan terwujudnya ketenteraan ini Revolusi Perancis bolehlah disifatkan sebagai suatu gerakan yang tidak sistematik dan telah memburukkan perkembangan masa depannya. Ada yang berpendapat bahawa Revolusi Perancis ini sebagai revolusi kaum Borjuis, yang mana pada awalnya mereka tidak terlibat namun dalam sisi yang sama jelas juga bahawa revolusi ini adalah suatu keuntungan bagi kaum Borjuis itu sendiri.

Kaum Borjuis tidak terlibat pada awalnya kerana tahap ekonomi mereka telah stabil di tahap maksimal sedangkan kaum petani dan pegawai rendah kerajaan tetap bertaraf sama selepas revolusi ini berlaku malah mereka iaitu kaum petani dan pegawai rendah kerajaan menjadi lebih marah. Dalam satu sisi yang berlainan, dikatakan bahawa golongan bangsawanlah yang telah menghasut rakyat jelata supaya membenci dan membentuk suatu gagasan antimonarki dan rata-rata puak Borjuis juga telah mengikut dogma bangsawan sehingga tercetusnya revolusi Perancis ini.

Secara ringkasnya, walaupun Revolusi Perancis ini adalah sesuatu yang bersifat catatan penting dalam sejarah tamadun benua Eropah, dalam masa yang sama kita dapat melihat pelbagai petunjuk dan pelajaran dari sejarah yang telah berlaku ini.

Ketika tiba suatu fasa yang menggigit pasti kaum yang lemah akan terus dilanyak dan diinjak-injak walaupun ada puak yang hadir kononnya untuk memberikan sokongan dalam membantu kelompok bawahan secara boneka.

Kerakusan dalam menjarah wilayah dan kekuatan ekonomi juga dilihat sebagai punca berlakunya huru-hara dan ketika fasa keperluan untuk merombak kian suntuk maka akal fikiran terhimpit sudah pasti akan memilih jalan keluar tanpa mempedulikan pasca revolusi.

Persoalannya kini, apakah revolusi Perancis akan berlaku juga di mana-mana benua pada masa akan datang, atau memang pernah berlaku selepas Revolusi Perancis cuma kita yang tidak sedar akibat dari keselesaan kita menikmati kepuasan tembolok nafsu. Jawapannya tetap akan hadir. Percayalah.