By Dr Jeyakumar Devaraj

KUALA LUMPUR, Malaysia--Setiap kali PSM berjuang untuk petani Cina di Perak, isu ini mudah disimpulkan oleh netizen bahawa petani „haram‟ bertani ditanah Kerajaan dengan percuma dan mengaut untung. Jadi bila Kerajaan Negeri rampas tanah, mereka harus keluarlah! Kami dapat banyak komen yang negatif umpamanya - mereka adalah penceroboh kerana tidak memegang geran; mereka harus bersyukur kerana tidak dikenakan bayaran cukai tanah selama ini; mereka sudah jadi kaya raya dengan menggunakan tanah kerajaan; dan sebagainya.

Tetapi persoalanya, ialah bukan isu mereka tidak mahu membayar sewa kepada Kerajaan Negeri. Isunya ialah walaupun tanah tersebut diterokai dan diusahakan sejak 40 tahun yang lalu, tetapi tawaran pajakan dinafikan kepada pengusaha asal, tetapi ditawarkan kepada sebuah syarikat baru yang tidak ada kena mengena dengan tanah tersebut.

“Tetapi perkara yang kami tidak memahami adalah mengapa pajakan tidak ditawarkan kepada petani yang telah bertungkus lumus untuk membangunkan kawasan ini sebagai satu sumber pertanian yang memanfaatkan negara tetapi kepada seorang pihak ketiga Suria Fisheries “Dr Jeyakumar, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia.

Jika anda boleh meluangkan sedikit masa saya ingin mengulas kisah petani Malim Nawar untuk membangkitkan beberapa isu penting untuk kita analisa bersama. 

Pada 14hb Julai 2021, saya telah menemani sekumpulan petani dari Malim Nawar, Kampar ke Ibu Pejabat Kontingen Polis Perak untuk mengemukakan aduan terhadap Polis Daerah Kampar yang gagal menghentikan pencerobohan tanah 10 orang petani oleh sebuah syarikat swasta. Petani terlibat telah mendapatkan Perintah Mahkamah Majistret Kampar yang mengatakan mereka berhak untuk terus mengusahakan tanah itu sehingga kes mereka diadili di Mahkamah, tetapi syarikat swasta itu terus memakai 4 buah jentolak untuk merobohkan pagar dan store petani tersebut, dan pihak polis enggan menguatkuasakan Perintah Mahkamah.
 

Kisah Petani Malim Nawar 
 
Lot HS(D) 11351, Mukim Kampar merupakan kawasan bekas perlombongan yang seluas 250 ekar. Pada tahun 1980an sekumpulan petani kecil telah mula mengusahakan tanah di kawasan-kawasan yang terbiar di lot HS(D) 11351. Selepas aktiviti perlombongan tamat, 10 keluarga ini telah memakai kolam-kolam perlombongan untuk membela ikan dan kawasan lain untuk menternak lembu dan menanam sayur serta kelapa sawit seperti digalak oleh Allayarham Tun Abdul Razak pada tahun 1974. Dalam upcara melancarkan Pelan Buku Hijau pada 20/12/1974 Tun Razak telah mengatakan “Perlu ditekankan di sini bahawa perkara yang dipentingkan dalam Rancangan Buku Hijau ialah penggunaan tanah dan bukan hak milik atas tanah itu.” Tuan Razak meneruskan ucapan beliau dan menggesa Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk menggalak aktiviti pertanian di atas bidang-bidang tanah yang lapang.

Beberapa tahun yang lalu Lot HS(D) 11351, Mukim Kampar telah dilupuskan (alienated) kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), sebuah syarikat milikan Kerajaan Negeri (GLC). PPPNP telah ditubuhkan pada tahun 1973 dan objektifnya adalah untuk membangunkan sektor pertanian untuk menjamin Negeri Perak mendapat bekalan bahan-bahan makanan yang mencukupi. PPPNP mempunyai Lembaga Pengarah seramai 12 orang ahli dengan YAB Menteri Besar sebagai Pengerusi Lembaga. Adalah dicatitkan dalam laman web PPPNP bahawa GLC ini mempunyai 21 buah anak syarikat dan memiliki 40,000 ha (setakat tahun 2017). Ada juga dicatitkan bahawa untuk tahun 2018 untung bersih PPPNP berjumlah RM 16.1 juta.

Pada 30/4/2018, PPPNP telah memeteraikan persetujuan pajakan dengan Syarikat Suria Fisheries Sdn Bhd. Keseluruhan Lot HS(D) 11351, Mukim Kampar telah diberi pajak kepada Suria Fisheries yang mempunyai dua orang pemegang syer – En Ng Seng Joo dan En Cheah Kim Swee. Kedua-dua pemegang syer bukan orang tempatan dan tidak pernah memainkan sebarang peranan dalam pemulihan kawasan bekas perlombongan ini sehingga ianya merupakan sumber ikan, susu, sayur-sayuran dan kelapa sawit. Yang amat pelik adalah fakta bahawa PPPNP tidak terlebih dahulu menawarkan lease pajakan kepada petani yang telah berusaha di atas Lot HS(D) 11351, Mukim Kampar untuk 40 tahun yang lalu.

Pada bulan Jun 2021 Suria Fisheries Sdn Bhd telah mengupah seorang kontraktor dan memulakan kerja “membersihkan” kawasan dengan merobohkan pagar dan bangunan kecil yang didirikan oleh para petani. 10 orang petani telah mencuba berbincang dengan Suria Fisheries untuk sewa tanah dan kolam daripadanya, tetapi tidak dilayan. Selepas itu petani ini telah menulis surat kepada PPPNP dan memohon berjumpa supaya dapat memohon pajakan diberi kepada mereka. Mereka sedia membayar pada kadar yang dipersetujui oleh Suria Fisheries. Sampai sekarang mereka belum dapat maklumbalas kepada surat mereka yang dihantar pada 18/6/2021. Oleh kerana pihak Suria Fisheries tidak mahu berdialog dan bertindak agresif, petani Malim Nawar telah memohon peguam PSM menfailkan kes di bawah Seksyen 99 Kanun Acara Jenayah untuk memohon “status quo” dikekalkan sehingga pertikaian terhadap tanah ini diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. Inilah perintah yang kami perolehi pada 9/7/2021 – “adalah diputuskan bahawa pengadu-pengadu mempunyai milikan bagi tanah yang menjadi pertikaian tersebut dan berhak menyimpan milikan itu sehingga disingkir dengan cara undang-undang. Apa-apa gangguan terhadap milikan mereka pada masa ini adalah ditegah.”Malangnya pihak polis Kampar enggan mengambil tindakan bila kontraktor Suria Fisheries melanggar perintah tersebut dan meneruskan kerja “pembersihan kawasan”.

Isu Menyeluruh ‘The Big Picture’

PSM menerima baik keputusan Kerajaan Negeri untuk mengekalkan kawasan Lot HS(D) 11351 sebagai kawasan pertanian supaya dapat terus menghasilkan makanan untuk rakyat Malaysia. Ini adalah amat penting untuk jaminan makanan (food security) negara. Kami juga mengalu-alukan kaedah memajakkan tanah kepada petani, pembela ikan dan penternak tempatan. Kaedah pajakan lebih baik daripada kaedah melupuskan tanah kepada para petani kerana ada kemungkinannya bahawa pada satu masa petani itu akan jual tanah it kepada seorang pemaju. Kaedah pajakan dapat mengekalkan tanah ini sebagai tanah untuk menghasilkan makanan untuk rakyat kita.

Tetapi perkara yang kami tidak memahami adalah mengapa pajakan tidak ditawarkan kepada petani yang telah bertungkus lumus untuk membangunkan kawasan ini sebagai satu sumber pertanian yang memanfaatkan negara. Jika PPPNP menawar kepada pihak ketiga seperti Suria Fisheries kerana petani asal degil dan tidak mahu bayar sebarang sewa, kami tidak akan mengritik keputusan itu. Kerana adalah munasabah pengusaha tanah kerajaan untuk membayar sewa pada Kerajaan Negeri. Tetapi dalam kes Malim Nawar petani asal tidak dihubungi oleh PPPNP sebelum tanah yang mereka usahakan dipajak kepada Suria Fisheries Sdn Bhd.

Kami berharap Kerajaan Negeri akan menjalani satu siasatan terhadap caranya PPPNP telah mengendalikan pemberian pajakan bagi Lot HS(D) 11351, Mukim Kampar. Mengapakah lease diberi kepada pihak ketiga? Mengapa petani tempatan tidak ditawar lease pajakan dulu? Adakah wujud unsur-unsur penyelewengan kuasa? Apakah mekanisme yang harus dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan kelemahan dalam pengurusan tanah seperti ini tidak diulangi oleh PPPNP?

Kami juga tiada bantahan jika Kerajaan Negeri Perak ingin memakai syarikat GLC seperti PPPNP untuk mengendalikan tanah kerajaan yang diusahakan oleh petani kecil. Tetapi cara kerja (SOP) PPPNP harus adil dan telus, dan sebahagian besar daripada pulangan pajakan harus disalurkan kepada Tabung Kerajaan Negeri supaya dapat dipakai untuk program-program yang membantu rakyat. Pulangan daripada tanah merupakan sumber kewangan terbesar untuk setiap Kerajaan Negeri. Apakah mekanisme semak dan imbang yang sedang diamalkan di Negeri Perak untuk memastikan pulangan daripada tanah kerajaan diguna untuk kebajikan rakyat Perak dan tidak dihijak oleh individu-individu berkuasa ataupun saudara-mara dan kroni mereka? Adakah akaun PPPNP danGLC lain di Perak dibentang setiap tahun di Dewan Undangan Negeri Perak supaya dapat diteliti dan disoal oleh ADUN Perak?

Bagi PSM, inilah isu-isu yang penting – kebajikan petani kecil, jaminan makanan untuk rakyat Malaysia dan penyaluran pulangan daripada tanah kerajaan kepada program-program yang memanfaatkan rakyat marhein di Perak. Adalah harapan PSM orang ramai akan mengambil pendirian yang rasional dan berprinsip dalam menganalisa isu-isu masyarakat yang menimbul dari semasa ke semasa, dan elak daripada reaksi yang bersifat etnik. Kita hanya akan berjaya mewujudkan masyarakat yang adil dan berharmoni jika kita mengasaskan analisa dan tindakan kita atas pemikiran objektif dan prinsip-prinsip kemanusiaan.