KUALA LUMPUR, Malaysia - Tree Light Studio baru-baru ini pada tanggal 15 Ogos 2021 sekali lagi telah berjaya mengadakan forum “Memahami Hukum Alam : Bersediakah Anda?” yang kedua menerusi aplikasi Zoom yang telah berjaya menarik lebih dari seribu orang penonton, suatu peningkatan yang melebihi dari jumlah penonton webinar sebelum ini.

Forum kali ini lebih menumpukan kepada isu alam dan kesannya terhadap manusia. Akibat dari perbuatan manusia itu sendiri yang mengikut hawa nafsu dalam menjarah dan memusnahkan alam ciptaan tuhan hanya untuk memenuhi kepentingan dan keuntungannya sendiri.

Tidakkah kita sedar akan kemusnahan yang sedang berlaku di sekeliling kita sekarang ini? Dengan kehadiran wabak penyakit sebagai suatu balasan bala bencana yang tuhan kirimkan sebagai suatu kesedaran akan sifat dan sikap jahiliyah kita terhadap alam semesta, termasuk diri umat manusia itu sendiri?

Pada kali ini Tree Light Studio sekali lagi menjemput panel jemputan yang tidak asing lagi iaitu Saudara Zaidi Salleh seorang aktivis sosial yang aktif, beliau juga merupakan seorang penulis mengenai isu-isu kemasyarakatan dan berunsurkan alam. Buku pertama beliau bertajuk ‘Mencari Hidup Belajar Dari Alam’ mendapat sambutan yang baik dan ketika ini dalam proses cetakan kedua.

Beliau berjaya memberikan pencerahan dan penjelasan terhadap isu-isu semasa yang sangat kompleks dan sukar untuk dijelaskan oleh para ilmuwan di luar sana. Sememangnya inilah yang dinanti-nantikan oleh masyarakat dunia yang tercari-cari arah kehidupan mereka.

Beliau menjelaskan keadaan kehidupan masyarakat di dunia hari ini sedang berada dalam kegelapan. Walaupun segala kebaikan telah dilakukan namun itu tidak memberikan apa-apa keberuntungan dalam menangani isu masalah dunia sekarang ini. Dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang dalam kacau bilau disebabkan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, ianya telah memberikan impak yang besar kepada sosio ekonomi di dunia khususnya kepada negara-negara dunia ketiga yang sedang membangun.

Begitu juga dengan konflik peperangan antara Israel dan Palestin yang tidak pernah selesai sejak dari dahulu sehinggalah ke hari ini. Kita masih lagi melihat mereka berperang dan berbunuhan sesama sendiri. Ianya berulang-ulang sejak dari puluhan tahun dahulu seperti tiada jalan penyelesaian dan perdamaian. Apakah yang sebenarnya berlaku di sebalik sejarah peperangan ini?

Selain dari konflik peperangan yang sedang melanda satu dunia hari ini, penindasan terhadap alam sekitar juga turut berlaku. Segala eksploitasi terhadap sumber alam seperti pembalakkan yang tidak terkawal dan kenaikan harga terhadap sumber pertanian, perikanan dan penternakan yang mana ianya dikawal oleh golongan kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan sahaja tanpa menghiraukan kesannya kepada masyarakat dan alam sekitar.

Sesungguhnya dunia sekarang ini sedang berada dalam kegelapan. Gelap akibat dari perbuatan manusia itu sendiri. Telah nampak kerosakan yang besar di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan-tangan manusia itu sendiri.

Sebagai balasannya Allah s.w.t telah memberikan sedikit rasa kesengsaraan kepada mereka akibat dari perbuatan mereka tersebut agar mereka kembali ke jalan yang benar. Kita dapat lihat di dunia sekarang sedang berlaku bencana yang sangat dahsyat di merata tempat di seluruh pelusuk dunia.

Antara berita yang dapat kita dengari baru-baru ini adalah peningkatan suhu dunia yang melampau seperti yang berlaku di San Sebastian, Sepanyol. Bandar ini telah mencatat suhu kepanasan yang tertinggi sekali di dunia sehingga mencecah 42 darjah Celcius. Peningkatan bencana kebinasaan alam sekitar, haiwan dan tumbuh-tumbuhan semakin kerap setiap hari. Apakah kita manusia ini masih tidak lagi sedar?

Keadaan di Malaysia juga tidak lari dari ujian tuhan ini. Malaysia diuji dengan tiga krisis besar secara serentak. Bermula dari tahun 2019 iaitu krisis ekonomi, seterusnya krisis kesihatan sosial dan akhirnya krisis politik. Krisis-krisis ini dipanggil sebagai Krisis “Eko-Sos-Pol”.

Selain itu jurang pendapatan rakyat Malaysia juga semakin melebar antara golongan T20, M40 dan B40. Semakin ramai golongan B40 yang jatuh ke paras kemiskinan dan M40 yang jatuh kepada kategori B40. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan bagi menaikkan semula paras ekonomi ini, namun siapalah kita untuk menandingi kuasa dari tuhan semesta alam.

Akibatnya 60% dari rakyat Malaysia sekarang ini sedang berada di tahap kemiskinan dengan jumlah pendapatan dibawah RM3,000 sebulan mengikut laporan yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Isu ketahanan sumber makanan yang semakin hari semakin meruncing akibat daripada isu rasuah dan penyelewengan yang berleluasa juga memberikan kesan kepada masyarakat. selain dari kesan dari wabak pandemik Covid-19 yang sedang melanda sekarang ini.

Tetapi yang sebenarnya rakyat sudah mulai resah dengan berkurangannya sumber pendapatan bagi menampung kos kehidupan harian mereka. Kos-kos ini antara lain termasuklah bayaran-bayaran bil, bayaran balik ansuran bank terhadap kereta atau motor dan rumah mereka. Begitu juga mereka perlu memastikan agar mereka dapat memberikan keperluan makanan dan minuman yang mencukupi kepada keluarga mereka. Ini memberikan tekanan yang amat hebat dari segi emosi dan spiritual. Mereka tertanya-tanya di manakah tuhan di waktu mereka amat memerlukan-Nya.

Menjadi suatu persoalan mengapa semua perkara ini berlaku kepada umat manusia, hari ini. Menurut wahyu yang diturunkan melalui Al-Quran, masalah demi masalah yang terjadi ini adalah kerana hukum yang berjalan di dunia sekarang ini adalah berlandaskan kepada hukum buatan manusia yang hanya mengikut hawa nafsu. Atau dalam kata lain disebut sebagai hukum ‘jahiliyah’.

Maka wajarlah dunia sekarang ini menghadapi bentuk kekejaman dan penindasan kesan dari perbuatan manusia itu sendiri. Tidak ada lagi keadilan di atas muka bumi ini. Kesemua alam dan manusia menerima kesan kezaliman yang semakin meluas kerana sesungguhnya setiap perbuatan manusia itu sudah melampaui batasnya. Tidakkah manusia ini ingat kepada perintah dan suruhan Tuhan untuk menjaga amanah yang telah diberikan-Nya?

Beliau juga menjelaskan setiap bencana dan kerosakan yang berlaku di dunia ini telah memberikan impak kepada manusia itu semula. Walaupun terdapat mereka-mereka yang masih berpegang kepada ajaran-ajaran dari setiap Tuhan mereka, mengapa masih terdapat azab di dunia ini? Atau mungkinkah ajaran-ajaran dari Tuhan mereka itu merupakan ajaran kesesatan yang nyata? Yang masih berpegang kepada hukum jahiliyah walaupun mengatakan bahawa itu adalah perintah dari Tuhan mereka?

Cara penyelesaiannya hanyalah satu sahaja. Iaitu setiap umat manusia yang masih ada dan wujud di atas muka bumi ini harus kembali kepada petunjuk yang telah diberikan oleh Tuhan Sekelian Alam. Tuhan Yang Maha Esa. Dan melalui kitab-kitab Nya yang telah diperturunkan. Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda bahawa: “Ku tinggalkan kepadamu 2 perkara. Selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya pasti kamu tidak akan sesat selamanya, iaitu Kitab-Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya”.

Kitab-kitab yang telah diperturunkan kepada seluruh umat manusia hari ini adalah sebagai petunjuk dan pelajaran bagi setiap perkara yang berlaku. Ianya tidak berlaku dengan hanya magis atau khayalan. Kitab yang dirujuk sebagai sebuah petunjuk, penjelasan dan pembeda antara yang haq dan yang batil di atas muka bumi ini.

Inilah dia jawapan yang dinanti-nantikan oleh setiap umat manusia di atas muka bumi ini bagi setiap permasalahan yang timbul dari sifat kerakusan dan jahiliyah manusia itu sendiri. Ianya sebuah penjelasan yang cukup sempurna bagi setiap manusia dalam setiap peredaran zaman ketamadunan manusia itu sendiri.

Untuk mengenali dan memahami tujuan kita sebagai manusia ini diciptakan, kita harus menggunakan akal yang telah dikurniakan oleh tuhan untuk mengenal diri kita sendiri, mengenal alam yang berada disekeliling kita, dan mengenal siapa Sang Pencipta kita. Allah s.w.t mengajak kita untuk berfikir secara rasional dengan menggunakan akal fikiran dan bukan mengikut hawa nafsu untuk mengenali-Nya.

Jadi bagaimana kita mahu mengenal Sang Pencipta kita ini? Terdapat dua cara untuk mengenali-Nya. Yang pertama adalah dengan merujuk kembali dan memahami kitab-kitab-Nya, iaitu Taurat, Injil dan Al-Quran yang telah diwahyukan dan dijelaskan oleh Rasul-Rasul-Nya. Yang kedua adalah dengan memerhatikan kepada penciptaan-Nya di alam semesta ini.

Setiap masalah mempunyai penyelesaiannya sendiri. Dan setiap persoalan pasti mempunyai jawapannya sendiri. Bagi setiap kejadian di atas muka bumi ini harus mempunyai penyebabnya. Dan bagi setiap penyebabnya harus mempunyai penjelasannya. Inilah yang hilang dalam mencari punca kepada berlakunya setiap bencana di atas muka bumi ini.

Dan Al-Quran ini adalah sebagai sebuah kitab yang memberi penjelasan dan penerangan bagi seluruh manusia dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa dan ingin mencari kebenaran. Teruskan mencari jawapannya sehingga anda ketemu kepada persoalannya. Gunakanlah sebaik-baiknya pendengaran, penglihatan dan akal fikiran yang telah dikurniakan oleh Tuhan Semesta Alam dalam mencari-Nya. Sehingga ketemu lagi.