Oleh SUHAKAM

KUALA LUMPUR, Malaysia--Hari Antarabangsa Mangsa Kehilangan Paksa diadakan setiap tahun pada 30 Ogos 2021 setiap tahun sebagai memperingati pencabulan hak asasi manusia yang dahsyat disebabkan oleh kehilangan paksa kepada mangsa-mangsa, ahli keluarga dan ia meninggalkan kesan yang menakutkan terhadap masyarakat. Sejak 2010, Perhimpunan Agung PBB menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kehilangan paksa di seluruh dunia. 

 
Antara yang paling membimbangkan adalah gangguan berterusan terhadap pembela hak asasi manusia, saudara mara mangsa, saksi-saksi dan wakil peguam yang terlibat dalam kes-kes kehilangan paksa.

Laporan SUHAKAM pada tahun 2019 mengenai siasatan awam kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat memutuskan bahawa kehilangan paksa sememangnya berlaku. 
 
SUHAKAM menzahirkan kebimbangan dan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan orang yang tersayang di atas keresahan dan kesedihan yang berpunca daripada kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat.

SUHAKAM mengambil maklum bahawa Kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas pada tahun 2019 untuk meneliti penemuan SUHAKAM daripada siasatan awam dan menyeru agar laporan tersebut didedahkan kepada umum agar terdapat jalan penyelesaian kepada mereka yang mencari jawapan kepada apa yang telah berlaku. 
 
SUHAKAM kini juga sedang menjalankan siasatan awam terhadap kehilangan Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu berikutan aduan yang diterima daripada keluarga dan rakan mereka.

SUHAKAM mengulangi seruan kepada Kerajaan untuk menyertai Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED) dan menimbang semula keputusan Kerajaan mengenai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa. 
 
SUHAKAM berharap agar negara ini dapat memastikan pengiktirafan undang-undang yang memadai dan menyediakan remedi kepada mangsa kehilangan paksa dalam negara ini; dan seterusnya menunjukkan komitmen Kerajaan untuk tidak membenarkan tindakan yang tidak masuk akal ini berlaku lagi pada bila-bila masa terhadap sesiapapun di negara ini.