By BERSIH 2.0

KUALA LUMPUR, Malaysia--Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dan Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM) menggesa agar Kerajaan baru pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri menggubal sebuah rang undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen sebagai salah satu komitmen terhadap persetujuan bersama para pemimpin Pembangkang tempoh hari untuk  memperkasa fungsi Parlimen dan reformasi institusi, juga sebagai kesinambungan tawaran bekas Perdana Menteri terhadap usaha mereformasi Parlimen selaku institusi semak dan imbang berkesan kepada tadbir urus Kerajaan. RUU ini harus memberikan autonomi institusi, pentadbiran dan kewangan kepada Parlimen dan memperkasa peranan institusi Parlimen khususnya sebagai medium semak dan imbang kepada Kerajaan pada hari ini.

Kami juga menyarankan supaya Perkara 65, Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memberikan Akta Perkhidmatan Parlimen yang bakal diwujudkan dengan sumber kuasanya daripada Perlembagaan Persekutuan, selaras dengan perjalanan prinsip pengasingan tiga kuasa Kerajaan yang setaraf dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi dasar kepada sebuah negara demokrasi. Prinsip pengasingan kuasa ini menganjurkan Parlimen, Eksekutif dan kehakiman supaya bebas antara satu sama lain, namun tetap boleh memeriksa perjalanan tugas antara mereka.

Kami menggesa semua parti politik dan semua ahli Parlimen untuk mengetepikan perbezaan politik mereka dan memberi sokongan rentas parti terhadap RUU Perkhidmatan Parlimen supaya kewibawaan Parlimen dikembalikan.    

BERSIH 2.0 dan REFORM pada hari ini melancarkan sebuah laporan kajian yang bertajuk "Mengembalikan Undang-undang Perkhidmatan Parlimen di Malaysia”. Laporan ini dinaungi bersama oleh BERSIH 2.0 dan ditulis oleh sekumpulan penyelidik daripada REFORM dan ahli akademik Universiti Awam.

Laporan kajian ini antara lain mengenalpasti mengapa institusi Parlimen memerlukan autonomi dan kebebasan dalam aspek pentadbiran dan kewangan. Dapatan laporan kajian ini juga melihat pentadbiran Parlimen kini didominasi oleh para pegawai daripada skim perkhidmatan awam lain setelah Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dimansuhkan pada tahun 1992 dan perbelanjaan kewangan Parlimen yang tertakluk kepada kelulusan dan boleh dipotong oleh badan Eksekutif melalui Kementerian Kewangan.

Oleh itu, kami menggesa agar pihak pimpinan Kerajaan baharu dan Parlimen Malaysia mengambil tanggungjawab dan komitmen terhadap reformasi insitusi Parlimen sekaligus memperkasanya melalui sebuah Undang-undang Perkhidmatan Parlimen yang baharu yang harus meliputi ciri-ciri berikut:

1. Mengembalikan peruntukan berhubung dengan perkhidmatan Parlimen dalam Perkara 65,  Perlembagaan Persekutuan yang merupakan sumber kuasa bagi  penggubalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

2. Meminda peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan pelantikan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat supaya mereka dilantik oleh sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang bebas dan dibentuk di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen.

3. Memperkenalkan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen bertujuan untuk menjamin kebebasan perkhidmatan Parlimen dengan ciri-ciri penting seperti berikut:-

i. Fungsi Suruhanjaya yang teras dan jelas dinyatakan dalam Akta;

ii. Keahlian perlu ganjil, bagi tujuan membuat keputusan jika perlu pengundian.;

iii. Penubuhan beberapa Jabatan di Parlimen dan peranan Ketua Pentadbir Parlimen, Setiausaha Dewan dan Setiausaha Jabatan secara jelas dikanunkan dalam Akta;

iv. Nilai-nilai Perkhidmatan Parlimen harus didefinisikan sebagai “Nilai Falsafah penting dalam Perkhidmatan Parlimen” atau Kod Tata Kelakuan.

4. Menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Pentadbiran dan Kewangan Parlimen bagi membantu Suruhanjaya menjalankan peranannya.

5. Menerapkan model pengurusan  perbelanjaan dan penyediaan belanjawan secara kerjasama untuk memastikan autonomi kewangan Parlimen.

6. Mempertimbangkan skim persaraan yang fleksibel kepada kakitangan perkhidmatan Parlimen yang setaraf dengan skim perkhidmatan awam.