Oleh Kamarudin Mohd Hussain

KUALA LUMPUR, Malaysia--Kami dari GABUNGAN PERTUBUHAN TEKSI, KERETA SEWA, LIMOSIN & TEKSI LAPANGAN TERBANG SE`MALAYSIA – GTSM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Dato` Seri Wee Ka Siong dan seluruh pegawai Kementerian Pengangkutan khususnya KSU Kementerian Dato` Isham Ishak dan Ketua Pengarah JPJ Dato` Zailani Haji Hashim yang begitu prihatin terhadap kesukaran dan rintihan rakyat.

Kami bersyukur rayuan yang telah kami buat sejak awal Ogos yang lalu kepada YB Menteri dan KP JPJ telah diberi pertimbangan dan sekaligus bakal memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia yang hari ini begitu terkesan dengan pandamik Covid-19.

Kami percaya lanjutan tempoh pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang diberikan hari ini serta pemansuhan ketetapan keperluan membuat temujanji bagi urusan kaunter JPJ bukan sahaja akan memberi ruang kepada masyarat untuk memperbaharui lesen mereka, malah secara tidak langsung dapat memudahkan masyarakat berurusan di kaunter-kaunter JPJ di seluruh negara.

Kami kagum dengan kesungguhan dan keprihatinan YB Dato`Seri Wee Ka Siong, beliau bertindak pantas dalam tempoh 48 jam untuk menyelesaikan isu berkaitan keresahan rakyat (Lesen Memandu & Lesen Kenderaan Motor).

Walau bagaimanapun hari ini kami ada menerima aduan daripada pemilik kenderaan dimana mereka telah dikenakan tindakan saman oleh pihak Polis kerana Lesen Kenderaan Motor mereka telah tamat tempoh walaupun tempoh penangguhan yang diberikan terdahulu masih belum berakhir (31 Sep 2021), kami berharap pihak Kementerian akan melihat isu ini.

Selain itu, kami juga berharap isu ketidaksamarataan yang telah berlarutan sejak 2014 di dalam industri teksi diantara perkhidmatan teksi dan e-hailing harus diselesaikan secara adil, tulus dan tuntas.

Ketika ini sekalipun kedua-dua perkhidmatan tersebut menjalankan aktiviti yang sama iaitu komersial, namun pemerintah terdahulu dengan sengaja dan sedar telah mewujudkan perbezaan, dimana perkhidmatan teksi ditakrifkan sebagai komesial sedangkan e-hailing pula ditakrifkan sebagai persendirian,

Kami percaya perbezaan tersebut diwujudkan bagi melindungi kepentingan syarikat kleptokasi dan tidak mustahil keputusan yang dibuat itu dipengaruhi rasuah, kami bukan ingin menunding jari, tapi itulah realitinya, Akta 333 Akta Pengangkutan jalan 1987 jelas menyatakan kenderaan persendirian tidak dibenarkan digunapakai sebagai kenderaan perdagangan.

Sehubungan dengan itu, kami berharap isu ketidaksamarataan yang telah dan sedang berlaku di dalam industri teksi akan diakhiri secara tulus dan tuntas.

*Kamarudin Mohd Hussain adalah presiden Gabungan Teksi SeMalaysia*