Oleh CCC-ECRL

KUALA LUMPUR, Malaysia--Kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), mengumumkan kejayaan memberikan vaksin COVID-19 kepada 100% pihak pengurusan dan kakitangannya termasuk subkontraktor dan pembekal tempatan dalam projek itu.

Keseluruhan tenaga kerja ECRL telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin berkenaan. CCC-ECRL mensasarkan proses vaksinasi dua dos lengkap menjelang penghujung September. Inisiatif ini bagi memastikan semua yang terlibat di 164 lokasi utama, termasuk kerja-kerja penggalian bagi 10 terowong, mendapat imuniti lengkap bagi memastikan projek mega negara itu dapat terus dijalankan.

Malah, ia juga penting untuk mengelak berlakunya kelewatan perkembangan projek disebabkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, pengurangan kakitangan dan waktu kerja yang dipendekkan, selain kelewatan penghantaran peralatan dan bahan binaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di negeri-negeri yang berlainan.

“Ia adalah satu penghormatan bagi kami untuk terlibat dalam salah satu projek mega Malaysia dengan memberikan vaksin kepada warga kerja projek ECRL. Adalah sangat penting bagi CCC-ECRL untuk memberikan vaksin bukan sahaja kepada kakitangan mereka malah, subkontraktor dan pembekalnya, bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat untuk semua,” kata Dr Mohd Fauzi Hassan, pegawai bertanggungjawab dari Qualitas Health Group, pihak pengurusan kesihatan dilantik bagi program vaksinasi berkenaan.

“Tahap kesedaran untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 adalah tinggi di Terengganu. Kita dapat melihat kadar vaksinasi yang baik untuk dos pertama. Kami amat berbesar hati untuk membantu Terengganu maju selangkah ke hadapan untuk mencapai imuniti kelompok bersama-sama CCC-ECRL, dengan kadar vaksinasi lengkap di negeri itu pada 61.4% setakat 7 September,” tambah Dr Mohd Fauzi.

Walaupun vaksin untuk inisiatif ini dibekalkan oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), segala kos penyelenggaraan Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) serta yuran pengurusan untuk pengamal perubatan am swasta dan kakitangan kesihatan terlibat ditanggung oleh CCC-ECRL dan pemilik asset projek ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Program vaksinasi itu diterima baik oleh subkontraktor dan pembekal tempatan dari Pantai Timur yang menghantar pekerja mereka untuk terlibat sama.

“Bagi meneruskan operasi ketika pandemik, kos operasi telah meningkat secara signifikan dengan pembelian kit ujian serta alat pencegahan COVID-19. Ia juga menjadi lebih sukar untuk kami mendapatkan tenaga kerja yang mencukupi. Kami berterima kasih kepada CCC-ECRL kerana membantu menguruskan pemberian vaksin kepada pekerja kami; ia amat memberikan kelegaan buat kami. Kami telah menghantar kira-kira 60 pekerja untuk mendapatkan vaksin di PPVIN Chukai.

Ini juga merupakan inisiatif yang baik bagi dalam membantu Pantai Timur mencapai imuniti kelompok,” kata Muhamad Aidil Ariff Ahmat, Jurutera Tapak Kinetic Builders Sdn Bhd.

Selain itu, Jurutera Letupan Sungai Bakap Enterprise, Nagen Thran, turut memuji inisiatif oleh CCCECRL itu.

“Pandemik ini telah memberikan cabaran yang tidak diduga dalam mendapatkan alatan dan aksesori daripada pembekal. Program vaksinasi yang dikelolakan oleh CCC-ECRL ini membolehkan pekerja kami mendapatkan vaksin lebih awal dan mudah. Terima kasih kepada kerajaan, CCC-ECRL, dan pihak lain yang berkenaan kerana melibatkan kami dalam program ini,” katanya.

Kempen vaksinasi ini diluluskan oleh Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS). Ia telah dijalankan di kem induk ECRL Dungun dan Chukai di Terengganu, dan CIDB Kuantan pada Ogos dan September.

Sementara itu, bagi kakitangan CCC-ECRL di sekitar Lembah Klang, proses vaksinasi dijalankan lebih awal pada bulan Julai dan Ogos di bawah Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) di Pusat Konvensyen CIDB Kuala Lumpur.