Oleh Teresa Kok
 
KUALA LUMPUR, Malaysia--Saya kesal dengan kenyataan Menteri Hal-Ehwal Agama Idris Ahmad yang menyatakan jabatannya akan mewujudkan undang-undang untuk menyekat penyebaran agama bukan Islam di Wilayah Persekutuan.

Sedangkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah jelas kepada semua. Idris Ahmad tidak perlu mewujudkan undang-undang baharu di Wilayah Persekutuan kerana ia akan mencetuskan kesangsian dan keresahan di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam.

Fasal 11 di Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan dan menjalankan agamanya, manakala Fasal 11(4) menyekat penyebaran agama-agama lain untuk umat Islam. Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini sudah cukup untuk menangani hal ini.

Apa yang patut beliau lakukan sebagai anggota Kabinet dalam tempoh krisis pandemik Covid-19 ini ialah menggalakkan penganut semua agama untuk saling bantu-membantu, khususnya terhadap golongan yang terpinggir di seluruh negara, termasuk Wilayah Persekutuan. Beliau sepatutnya menggalakkan amalan kasih sayang dan kebajikan yang menjadi tonggak agama Islam kepada semua warga Malaysia.

Saya menyeru Idris Ahmad dan anggota kabinet yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri untuk menentukan keutamaan kerajaan dalam mengatasi krisis pandemik hari ini, dan bukannya melakukan sesuatu yang boleh memecahbelahkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Realiti di Wilayah Persekutuan sekarang ialah ramai orang sedang berusaha gigih untuk memulihkan kembali kehidupan di bawah pandemik Covid-19. Banyak tempat ibadat telah ditutup di bawah PKP, termasuk PKPD, sejak bulan Mac tahun lepas. Sepatutnya inilah yang perlu ditangani dengan baik di Wilayah Persekutuan.

Semua agama mengajar kita hidup dengan toleransi dan saling faham-memahami antara satu sama lain. Semangat #kitajagakita ialah bukti kepada semangat gotong-royong rakyat tanpa mengira kaum dan agama.