Oleh PERKESO

KUALA LUMPUR: Lagu “SIFAR” yang merupakan hasil kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan komposer muda Asfan Shah dan Tripdisk serta rapper Kmy Kmo telah terpilih sebagai satu daripada tiga finalis di International Media Festival for Prevention (IMFP) di Toronto, Kanada.

Festival bertaraf antarabangsa ini dianjurkan untuk mengiktiraf filem and multimedia mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Pertandingan ini melibatkan 289 penyertaan daripada 40 buah negara dan lagu SIFAR telah berjaya disenaraikan antara tiga finalis dalam kategori Music is Key yang merupakan salah satu daripada enam kategori yang dipertandingkan.

SIFAR, sebuah lagu bergenre moden kontemporari merupakan “original soundtrack” (OST) filem Warkah yang diterbitkan PERKESO pada 2019 untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang kepentingan jaringan keselamatan sosial, termasuk inisiatif pencegahan kemalangan terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Lagu ini turut menyelitkan elemen Vision Zero iaitu transformasi terhadap aspek pencegahan menggabungkan elemen keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan yang diperkenalkan oleh Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) bagi mengurangkan kemalangan di tempat kerja dan penyakit akibat pekerjaan, dalam liriknya.

Sejak dilancarkan pada November 2019, “SIFAR” yang telah dimuat naik beberapa kali di YouTube telah mendapat lebih 700 ribu tontonan, sehingga kini. Lagu ini boleh ditonton kini melalui laman YouTube rasmi PERKESO di pautan https://youtu.be/5hcbcpSLMhc.

Keputusan pemenang akan diumumkan pada 22 September 2021 ini sempena majlis pembukaan XXII World Congress on Safety and Health at Work di Toronto, Kanada. Harapan PERKESO adalah untuk mengibarkan bendera Malaysia sebagai juara di pertandingan peringkat antarabangsa ini.

IMFP dianjurkan setiap tiga tahun sempena World Congress on Safety and Health at Work sejak tahun 1990. Festival ini bertujuan mengiktiraf produksi filem dan multimedia berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dari seluruh dunia dan menekankan kepentingan komunikasi yang efektif dalam melaksanakan aktiviti pencegahan bagi memastikan penyampaian mesej yang lebih berkesan.

IMFP boleh diikuti di pautan https://mediainprevention.org/en/festival.html bermula 20 September sehingga 23 September 2021. Senarai penuh perserta yang layak boleh diakses di https://mediainprevention.org/en/entries-2021.html.

PERKESO berharap pencapaian ini bukan sahaja akan dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, malah dapat meningkatkan kesedaran dan pemahaman rakyat Malaysia khususnya anak muda mengenai kepentingan memperoleh perlindungan keselamatan sosial melalui cara yang lebih kreatif dan dekat di hati mereka.

Ini adalah amat penting sejajar dengan peningkatan tenaga kerja muda dalam pelbagai sektor ekonomi serta peluasan ekonomi gig yang menjadi pilihan ramai anak muda sebagai kerjaya kehidupan.