Oleh APMM

PUTRAJAYA, Malaysia--Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Komander Maritim Dr Suzanna binti Razali Chan yang menjawat jawatan selaku Ketua Penolong Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia atas pencapaian dan prestasinya apabila berjaya menarik perhatian badan bukan kerajaan antarabangsa International Maritime Rescue Federation (IMRF) menerusi IMRF Awards 2021 dengan kejayaan untuk tersenarai dalam finalis, seterusnya dinobatkan sebagai Runner Up bagi kategori Women in SAR.


Keputusan anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IMRF, Theresa Crossley secara atas talian menerusi Majlis Penganugerahan IMRF Awards 2021 yang diadakan secara maya langsung dari London, United Kingdom melalui akaun Youtube rasmi IMRF pada 14 September lalu.
Terdahulu, Komander Maritim Dr Suzanna pernah dijemput sebagai speaker sempena International Women’s Day pada 8 Mac.

IMRF merupakan satu-satunya organisasi bukan kerajaan (NGO) SAR Maritim yang berperanan sebagai perunding dan penasihat di International Maritime Organisation (IMO) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).
IMRF turut memperjuangan pembangunan kapasiti dalam bidang mencari dan menyelamat maritim (MSAR) di seluruh dunia.
 
IMRF juga mempunyai misi dan bertanggungjawab dalam memberi latihan dalam kemahiran operasi MSAR dengan mempromosikan pendidikan awam dalam meningkatkan kesedaran tentang pentingnya keselamatan nyawa dan harta benda ketika berada di laut.
 
Bermula 2019, IMRF telah mengangkat peranan wanita menerusi inisiatif Women in SAR di mana sebelum ini peranan wanita kurang diberi perhatian dan ditonjolkan.
 
Menerusi IMRF Awards 2021, Komander Maritim Dr Suzanna daripada Malaysia telah diangkat sebagai ikon bagi kategori itu berdasarkan komitmen, kelayakan dan kepakarannya dalam bidang MSAR.
 
Beliau juga merupakan Wanita Pertama di rantau Asia Tenggara yang memenangi anugerah tersebut.

Maritim Malaysia sebagai badan coast guard akan sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan dan pembangunan kompetensi warganya di dalam bidang MSAR yang mana ia merupakan tugas teras Agensi selain penguatkuasaan undang-undang di laut.

Pautan video Malam Penyampaian Anugerah IMRF AWARDS 2021 boleh ditonton di sini