KUALA LUMPUR, Malaysia--Malai’ adalah nama yang disebut-sebut dalam manuskrip-manuskrip purba India untuk satu bangsa yang tinggal di Kepulauan Melayu. ‘Malai’ bermaksud Gunung atau Bukit. Ini bermaksud pada masa silam bangsa ini tinggal di dataran yang tinggi atau menunjukkan arah kedatangan bangsa ini, yang datang dari sebelah Utara India iaitu dari arah perbatasan pergunungan Himalaya.

Bangsa ini disebut dalam kesusasteraan Avestan-Vedic-Sanskrit bahawa salah satu suku terhormat bangsa Aryan yang berkasta Ksyatria, iaitu kasta pahlawan yang menurunkan kaum Sakya, iaitu kaum yang berasal dari perbatasan Himalaya. Mereka membawa ajaran Veda bersama-sama suku kaum Aryan yang lain. Bangsa ini telah menyerang benua kecil India dan memaksa etnik asli India bergerak ke tanah lebih selatan. Salah satu ciri-ciri mereka ialah kulit mereka lebih cerah dan penampilan bangsa ini tegap dan tampan.

Tidak ada percanggahan yang lebih ketara di dalam membicarakan riwayat sesuatu bangsa kecuali bangsa Melayu. Tidak seperti Bangsa Inggeris yang diketahui berasal dari tiga suku-suku purba Jerman iaitu Angles yang mana terbit dari kata Anglo dan seterusnya English, Saxon dan Jutes. Juga bangsa Iran yang berasal dari bangsa Madyan Purba atau Empayar Medea sebelum kehadiran Empayar Achaemenid dan Sassanid serta kelahiran Emperor-Emperor Agung seperti Cyrus, Xerxes dan Darius.

Kitab yang paling berharga dalam sejarah Melayu ialah Sulalatus Salatin. Atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu. Kitab ini telah dikarang oleh Tun Sri Lanang. Ramai sarjana Barat sangat tertarik untuk mengkaji karya agung ini seperti Winsted, Shellebear dan sebagainya. 
 
Di dalam Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin, terdapat satu petikan popular yang mengatakan keturunan raja-raja Melayu adalah berasal dari Iskandar Zulkarnain. Iskandar Zulkarnain di sini kerap dikelirukan dengan Alexander The Great dari Macedonia. Sebenarnya tiada siapa pun yang berani memanggil Alexander The Great sebagai Iskandar Zulkarnain kecuali sesetengah orang yang terkeliru.

Jika Iskandar Zulkarnain itu adalah Alexander The Great dari Macedon yang pernah menawan Parsi dan India, kemungkinan akan terdapat waris Melayu yang berasal dari kempen peperangan Alexander The Great yang menggalakkan askar-askarnya untuk mengahwini orang-orang asing termasuk dirinya sendiri yang mengahwini seorang anak raja sebuah kerajaan di India seperti mana yang diceritakan dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu dengan nama Puteri Syahrul Bariyah. Dan juga Sulalatus Salatin ini mendakwa raja-raja Melayu adalah berasal dari keturunan Alexander The Great dan Permaisuri Syahrul Bariyah.

Tetapi yang sebenarnya Iskandar Zulkarnain ini adalah seperti Iskandar Zulkarnain yang disebut di dalam Al-Quran. Perlu diingat bahawa Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ini sendiri mempunyai sekurang-kurangnya 29 versi. Dan versi-versi yang popular adalah dari hasil kajian sarjana Barat. Sehingga tidak mustahil sarjana-sarjana Barat seperti Shellebear boleh dengan sengaja menukar nama Iskandar Zulkarnain kepada Alexander The Great untuk menggelirukan bangsa Melayu sendiri.

Iskandar Zulkarnain ada disebut dalam Al-Quran tentang dirinya dalam Surah Al-Kahfi ayat 83:

"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya."

Iskandar Zulkarnain adalah seorang maharaja yang mempunyai empayar yang sangat luas seperti yang disebut di dalam Surah Al-Kahfi ayat 84 :

"Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya."

Zulkarnain bermaksud Pemunya Dua Tanduk. Mengikut kajian ahli sejarah dan arkeologi, Iskandar Zulkarnain bukanlah Alexander The Great dari Macedon tetapi lebih menepati ciri-ciri Cyrus The Great, Emperor Parsi yang menyatukan bangsa-bangsa Parsi Kuno. 
 
Cyrus The Greatlah atau Iskandar Zulkarnain seperti yang disebut di dalam Al-Quran, yang dipercayai menganut agama Allah, seorang yang warak dan berpekerti mulia, tidak seperti akhlak Alexander The Great yang diketahui berfoya-foya dengan arak dan menyimpan kekasih lelaki.

Empayar Cyrus atau Iskandar Zulkarnain meliputi benua Timur dan Barat dari Eropah termasuk Mesopotamia, Parsi dan India serta membentang sejauh ke negeri China. 
 
Cyruslah yang dipercayai mula-mula membina tembok-tembok di negeri China. Sesungguhnya bukanlah Emperor Shih Huang Ti yang membina Tembok Besar China sepenuhnya di mana catatan purba menjelaskan bahawa beliau hanya menambah, menyambung dan memperbaiki tembok-tembok purba yang terlebih dahulu wujud di negeri China. Di dalam kitab Taurat dan Injil juga ada menyebut tentang Cyrus atau Iskandar Zulkarnain yang disebut di dalam Injil sebagai Raja Kurosh yang mempunyai kerajaan yang hebat.

Medes adalah nama Yunani yang merujuk kepada bangsa Iran Kuno, yang tinggal di sebelah barat laut Iran pada hari ini. Kawasan ini dikenali di Yunani atau Greek sebagai Media atau Medea. Dalam bahasa Iran Purba, bangsa Medes ini disebut sebagai ‘Mada’ atau ‘Mala’.

Ketika abad ke-6 Sebelum Masehi, selepas bersama-sama Bangsa Babylon mengalahkan Empayar Assyria Baru, Bangsa Madayu atau Malayu ini telah mampu menubuhkan empayar mereka sendiri. 
 
Empayar bangsa Madayu/Malayu ini sangat luas membentang dari Laut Hitam termasuk daerah Aran atau sekarang dikenali sebagai Azerbaijan, di sebelah Utara sehinggalah ke Asia Tengah, Afghanistan dan Pakistan yang mana terdiri daripada banyak jajahan-jajahan termasuk Tanah Parsi. 
 
Akhirnya penduduk-penduduk Parsi ini telah meresap masuk ke dalam Empayar Madayu//Malayu/Media ini ketika zaman Empayar Achaemenid Parsi. Bangsa Madayu/Malayu telah diiktiraf sebagai bangsa yang telah mengasaskan Empayar Iran yang pertama. 
 
Empayar yang terbesar sehinggalah Cyrus The Great menyatukan bangsa Madayu/Malayu dan Parsi menjadi Empayar Achaemenid dengan mengalahkan datuknya sendiri yang juga seorang Emperor bernama Astyages, iaitu Raja Madayu/Malayu.

Bangsa Madayu/Malayu adalah saudara kepada bangsa-bangsa dalam kelompok keturunan Keturah. Dalam bahasa Avestan iaitu bahasa keagamaan kuno Parsi Purba, kata “yu” adalah suffix yang merujuk kepada “mind”, “brain” atau “mentaliti”. 
 
Ia adalah ‘instrumental suffix’ atau sukukata yang ditambahkan dihujung perkataannya, yang jika dilihat secara keseluruhan merujuk kepada “the mode of thinking” atau identiti sesuatu bangsa berdasarkan pemikiran yang boleh juga menerangkan cara hidup, budaya atau peradaban. 
 
Jadi “yu” dalam slanga bahasa Avestan yang juga adalah Ibu kepada bahasa Sanskrit, adalah merujuk kepada ‘bangsa’ atau ‘budaya’. Jadi perkataan “Madayu” atau “Malayu” bermaksud “Bangsa Mada” atau “Bangsa Mala”.

Perkataan “Mala” adalah kata yang diambil dari satu manuskrip kuno yang menceritakan kehidupan, perjuangan untuk hidup dan peperangan yang terjadi di Nusantara beribu-ribu abad yang lalu. “Mala” sebenarnya bermaksud ‘bunga’ atau ‘haruman’. “Mala’ adalah asas bagi nama bunga Melati dan Melur, dua bunga yang menjadi lambang yang bertahap kultus dalam mistik dan kesusasteraan Melayu.

Nama gadis-gadis Melayu lama kerapkali diberi nama Melati atau Melur. Menunjukkan nama dua bunga ini adalah nama yang tertua dan terkenal sekali di kalangan bangsa Mala. Perkataan Mala adalah nama asli bangsa ini, ketika di sebelah Parsi-Sumeria, bangsa ini digelar Mala-Ur atau negeri Mala. 
 
Tidak hairanlah sarjana Tamil atau Sanskrit Purba menamakan bangsa ini sebagai Mala-Ur atau Malayur, ini kerana sudah tentu mereka mengambil nama ini dari manuskrip Sanskrit dan Avesta kerana bangsa Aryanlah yang membawa budaya Vedic dan warisan ilmu pengetahuan dan kesusasteraan ke Benua Kecil India.

Perhatikan kata Mala-Ur ini berubah menjadi Melur di lidah orang Melayu. Para sarjana China Purba pula menamakan bangsa ini Mo-Lo-Yue dan kata ini berasal dari kata Ma-La-Yu. “Mala-Yu” adalah nama yang diberi oleh raja-raja Babylon dan Assyria kerana ‘-Yu’ adalah suffix dalam bahasa kuno Avesta yang merujuk kepada budaya, pemikiran seterusnya kaum itu sendiri. 
 
Gadis yang bernama Mala, Melur atau Melati adalah lambang gadis suci yang penuh sopan-santun dan adat Melayu ketimuran. Dari sukukata “Mala”, bangsa purba memberikan pelbagai panggilan dengan penambahan suffix yang berbeza.