Oleh Tariq Ismail

KUALA LUMPUR, Malaysia--Biro Hal Ehwal Luar Negara Parti Pejuang sangat prihatin dengan perjanjian trilateral ketenteraan strategik yang provokatif antara Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia (AUKUS).

Program kapal selam berkuasa nuklear AUD 90 bilion di bawah naungan "membantu mengekalkan keamanan dan kestabilan di Indo Pasifik" akan menaikkan suhu di Laut China Selatan yang dipertandingkan dan menjurus ke suatu perlumbaan senjata.

Di samping itu, ia akan memaksa nuklearisasi di Pasifik dan menyebabkan pengeluaran tenaga nuklear untuk tujuan ketenteraan meniti batasan yang diletakkan PBB berkenaan perkembangan senjata pemusnah besar-besaran lantas terang-terangan mentertawakan resolusi PBB mengenainya.

Kami menggesa Menteri Pertahanan YB Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk membentangkan kepada Parlimen mengenai kedudukan Malaysia berdasarkan AUKUS.

Menteri Pertahanan, dengan segera, mesti melibatkan rakan sejawatnya dari Australia dan Britain dan mendapatkan jaminan bahawa kedaulatan dan keselamatan Malaysia dan Asia Tenggara tidak akan tergugat oleh AUKUS.

Selanjutnya, Biro Hal Ehwal Luar Negara menggesa Menteri Luar Negara YB Dato Saifuddin Abdullah agar mendesak anggota ASEAN dan menegaskan kembali kepada China, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia bahawa Laut China Selatan adalah Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN).

Biro Hal Ehwal Luar Negara Parti Pejuang juga ingin mencadangkan kepada Menteri Luar Negara dan Menteri Pertahanan hal berikut:

a) Selaras dengan prinsip-prinsip yang mendasari UNCLOS dan ZOPFAN, kawal selia Laut China Selatan mesti dilakukan dengan tegas oleh anggota ASEAN dan pengecualian hanya setelah persetujuan bersama anggota-anggota ASEAN. Ini bagi melarang sesebuah negara dari bertindak secara sendirian di bawah naungan semangat “Freedom of Navigation” dan operasinya, dengan mewujudkan mekanisme yang seakan sama bagi "menjaga untuk semua Negara keseimbangan kepentingan hukum yang ditetapkan dalam kelaziman undang-undang antarabangsa seperti yang dicerminkan di dalam Undang-undang Konvensyen Laut. "

b) Di samping itu, sementara kapal ketenteraan bertenaga nuklear mungkin dibenarkan melewati Laut China Selatan (tertakluk kepada larangan yang dipersetujui berdasarkan kelaziman undangundang antarabangsa), latihan ketenteraan yang melibatkan kapal bertenaga nuklear harus dilarang sama sekali di perairan Laut China Selatan termasuk di perairan yang tidak berpihak,

c) Malaysia dan ASEAN mesti merangka kerangka keselamatan bersama dengan anggota ASEAN Plus termasuk EU, China, Rusia dan India untuk memelihara kedaulatan Asia Tenggara secara khusus dan wilayah Indo-Pasifik pada umumnya untuk mengimbangi tindakan pencerobohan dari mana-mana pihak,

d) Berhubung dengan Australia berkenaan akibat langsung ke atas pelan pengeluaran tenaga nuklearnya untuk tujuan ketenteraan yang mesti dilakukannya untuk membolehkan penggunaan kapal selam.

* Tariq Ismail Mustafa mengetuai Biro Hal Ehwal Luar Negeri Pejuang *