KUALA LUMPUR, Malaysia--Parlimen baru-baru ini dikejutkan dengan kenyataan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan, bahawa kejadian bencana alam yang berlaku di kawasan Gunung Jerai, Kedah pada bulan lepas merupakan takdir Tuhan atau ”act of God” . Isu nya ialah ianya bukan takdir Tuhan, tetapi perbuatan manusia yang ‘mempertuhankan’  keuntungan dan kapitalisme  itu .

Disini mungkin ada yang akan berhujah bahawa bukan semua aktiviti manusia yang membawa kemudaratan kepada alam sekitar, tetapi hanya lah perbuatan segelintir manusia jahat yang ‘tamak’ dan ‘rakus’. Kalau itu benar, kenapakah isu-isu pencemaran seperti perlombongan, pembalakan, pembersihan cerun, pembinaan hartatanah di kawasan sensitif alam sekitar berulang-ulang,  tanpa kesudahan walaupun adanya pelbagai undang-undang dan syarat-syarat seperti EIA yang perlu dipatuhi.
 
Laporan terbaru Intergovernmental Panel on Climate Crisis ,  Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan dengan jelas menuding jari kepada umat manusia yang bertanggungjawab ke atas  pemanasan global yang meningkatkan suhu purata dunia melebihi 1.1 darjah celsius berbanding suhu zaman pra-perindustrian Eropah (Industrial Revolution). Ianya dipercayai akan  melepasi had 1.5 darjah Celsius yang dimandatkan di bawah Perjanjian Paris yang diratifikasi oleh 175 negara. 
 
Justeru itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa iklim dunia berubah lebih ketara pada kadar yang tidak pernah berlaku dalam tempoh ratusan hingga ribuan tahun lalu sebelum ini. Walaupun spesies manusia telah melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi lebih 300,000 tahun dahulu, tetapi hanya dalam masa 200 tahun kebelakangan ini, kita memperlihatkan suatu perubahan iklim yang mendadak dan kemusnahan alam sekitar yang begitu teruk sekali.
 
Maka dari kita menyalahkan semua nenek moyang kita dari dulu, ianya lebih sesuai untuk memfokuskan kritikan kita terhadap manusia moden kini yang ‘mempertuhankan’ suatu model ekonomi kapitalis yang secara nalurinya akan melakukan apa sahaja untuk mengaut keuntungan tanpa had.
 
Tamadun manusia selagi mereka ‘mempertuhankan’ model ekonomi kapitalisme ini secara sedar atau tidak akan menjahanamkan alam sekitar dan semua aspek kehidupan yang perlu untuk umat manusia terus hidup sebagai suatu spesies didunia ini. Kemusnahan alam tidak sahaja khusus kepada mereka yang tamak haloba, tetapi kepada sesiapa yang menganuti kapitalisme ini. Ianya bertentangan dengan hukum alam sekitar kerana;

Ekonomi yang senantiasa menuntut ‘pertumbuhan’

a. Ekonomi ini senantiasa menuntut ‘pertumbuhan’, pengembangan dan pengumpulan kekayaan tanpa had dalam konteks dunia yang mempunyai sumber yang terhad. Jika kapitalisme tidak perkembang maka ianya akan tersungkur, begitulah nalurinya.

Walaupun kuasa produktif manusia zaman ini begitu cekap dari segi teknologi dan kapasiti pengeluarannya,  sehingga dapat memenuhi keperluan manusia berlipat kali ganda, tetapi pemodal, pelabur dan tokoh-tokoh industri akan terus bersaing sesama sendiri untuk meningkatkan produktiviti lagi.
 
Isunya bukan produktiviti yang tidak cukup, tetapi pengagihan hasil ini kepada masyarakat. Keupayaan memperolehi kemudahan asas bukanlah berdasarkan kepada keperluan anda lagi, tetapi samaada anda mempunyai wang ringgit untuk membelinya.

Maka sifat ekonomi yang ‘mempertuhankan’ naratif bahawa ianya perlu perkembang dengan membina lebih banyak kilang, melabur diluar negara, meningkatkan bisnes, meningkatkan pulangan kepada pelabur, mendahului persaingan dan sebagainya sudah tentu akan merentasi had-hadnya dan memberikan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Sumber alam sebagai komoditi, bukan sumber asas untuk hidup

b. Kehancuran alam sekitar tidak dapat dielakkan jika kita ‘mempertuhankan’ suatu model ekonomi yang senantiasa mencari sumber alam seperti mineral, balak atau apa sahaja yang boleh dijadikan komoditi untuk dijual. Ianya mendorong manusia melihat warisan semulajadi sebagai aset percuma untuk dilombong, ditebang, disedut, dirampas atas alasan ianya untuk keperluan manusia.
 
Tidakkah mereka sedar bahawa hutan dalam keadaan asal yang tidak tersentuh juga merupakan keperluan kepada kelangsungan kehidupan manusia? Kenapa hutan tidak dilihat sebagai penyedut karbon dioksida yang amat diperlukan sekarang untuk mengurangkan kesan gas-gas rumah hijau?

Kenapakah bukit dilihat sebagai sumber batu kuari dan bukannya sumber sungai dan tadahan air yang memberikan kita air minuman ?

Rasional songsang inilah yang menjadi pegangan manusia yang ‘mempertuhankan’ kapitalisme ini .

Matlamat jangka pendek , kemusnahan jangka panjang

c. Tabiat pendukung kapitalisme ini berfokuskan melaksanakan aktiviti mereka dalam jangka masa pendek. Rasional mereka untuk melibatkan diri dalam apa jua bisnes ialah untuk mengaut keuntungan yang paling tinggi dalam jangka masa yang paling pendek. Masa yang panjang dilihat sebagai meningkatkan kos mereka dan ianya tidak berbaloi. Maka pengiat kapitalis biasanya gagal mempertimbangkan impak jangka panjang aktiviti ekonomi mereka. Kesan luaran externalities  biasanya tidak termasuk dalam perkiraan model bisnes mereka. Ianya bukan bermaksud, mereka ini jahat ataupun tamak, tetapi mana-mana pihak yang melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi sedemikian terpaksa akur kepada ‘peraturan’ kapitalisme ini. Jika tidak, maka kapitalisme tidak mendatangkan hasil yang sepatutnya, iaitu peningkatan dan pengumpulan keuntungan berterusan tanpa had.

Ini menyebabkan, tatacara aktiviti kapitalis, gagal melihat atau menjangka impak jangka panjang perlombongan, pembalakan, perindustrian dan sebagainya terhadap alam sekitar dan komuniti yang bergantung kepada alam sekitar tersebut. Walaupun, mereka sedar bahawa sumber alam adalah terhad, ianya tidak menghentikan mereka dari terus mengeksploitasi semaksima yang mungkin sumber alam dengan kadar yang lebih cepat.

Pertumbuhan GDP  vs  Alam Sekitar Yang Terhad

d. Walaupun kita menerima rasional bahawa semua negara berhak meningkatkan ekonominya ke arah meningkatkan Keluaran Domestik Negara Kasar (KDNK) setiap tahun, terutamanya negara-negara sedang membangun pasca penjajahan, tetapi pertumbuhan juga dituntut oleh negara-negara yang dikategorikan sebagai sudah membangun.

Mantra “pertumbuhan GDP (KDNK)” ini menjadi laungan global yang menguji keupayaan alam sekitar untuk mengadaptasinya.
 
Kesemua pemimpin Negara yang membuat janji manis dalam konferens antarabangsa untuk mengurangkan gas rumah hijau dari negara mereka, akan membuat komitmen yang sama kepada rakyat dan komuniti bisnes mereka untuk mengembangkan GDP masing-masing.

Pertembungan di antara desakan untuk terus berkembang dan realiti bahawa umat manusia berada di atas suatu muka bumi yang terhad sumbernya berterusan. Malangnya kebanyakan komitmen untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau ini dipinggirkan akibat desakan kapitalis yang lebih kuat suaranya menuntut pertumbuhan ekonomi.

Pentadbiran yang sehaluan dengan kapitalisme

e. Manusia yang mempertuhankan ‘kapitalisme’ ini, memerlukan Kerajaan dan semua cabang pentadbiran sehaluan dengan misi nya. Maka pihak eksekutif iaitu Kerajaan, Kehakiman dan Parlimen haruslah mengubal undang-undang, menguatkuasakan dan mempertahankannya selaras dengan kehendak nya. Maka pelbagai pendekatan  dilaksanakan agar minda pentadbiran senantiasa kekal pro perniagaan dan  mempertahankan dan menyokong aktiviti untuk terus mengumpul kekayaan dan untung tanpa had .

Maka, umat manusia yang ‘mempertuhankan’ kapitalisme ini akan terus mempertahankan model ekonomi ini dan mengenepikan apajua usaha untuk menawarkan suatu model ekonomi dan sosial yang alternatif.

Kita perlu sedar bahawa, perubahan personaliti politik tidak akan membawa reform yang signifikan jika mereka juga ‘mempertuhankan’ kapitalisme ini. Perubahan akan jadi nyata di tangan kuasa politik yang memahami sifat kapitalisme yang secara nalurinya menjahanamkan alam sekitar dan masa depan umat manusia di bumi ini.

Perjuangan menuntut suatu ekonomi alternatif yang baru ini sudah lama tercetus apabila rakyat yang terkesan dengan penghancuran alam sekitar ini bangkit dan lawan. Di Seluruh dunia kita lihat suara rakyat membantah pencerobohan tanah adat mereka, pembalakan di hutan, pencemaran sungai, perampasan tanah pertanian, aktiviti industri dan perlombongan yang  mencemari persekitaran . Perjuangan ini jelas memaparkan kebenaran sifat ekonomi yang ‘mempertuhankan’ kapitalisme ini gagal dan tidak serasi dengan alam sekitar dan keperluan rakyat terbanyak.
 
Paradigma model ekonomi harus beralih dari yang berfokuskan keuntungan melalui komodifikasi sumber alam ke model alternatif yang mampan. Suatu ekonomi yang berasaskan keperluan asas masyarakat, pengagihannya adil, produktiviti yang sepadan dengan keperluan boleh menjadi nyata jika kita menumpaskan kapitalisme ini dan membina ekonomi baru  yang melihat manusia sebagai sebahagian dari alam sekitar dan bukan ‘tuan’ kepadanya.