Oleh Tariq Ismail

KUALA LUMPUR, Malaysia--Biro Hal Ehwal Antarabangsa Parti Pejuang Tanahair mohon pencerahan daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkenaan jawapan beliau kepada Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan di mana beliau menyatakan "…cadangan mendapatkan pandangan China terhadap isu AUKUS supaya Malaysia dan negara Asia Tenggara lain boleh ambil tindakan proaktif.”

Kami ingin mengingatkan Menteri Pertahanan, bahawa pada bulan April tahun ini sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Luar Negara, dia telah menggunakan istilah "Big Brother" bagi menggambarkan hubungan Malaysia dengan China.

Jika benar seperti yang Kerajaan dan Menteri Pertahanan nafikan bahawa Malaysia menurut telunjuk negara China, maka YB Menteri tidak perlu bersemuka dengan mereka di Beijing semata-mata untuk dapat pandangan mengenai AUKUS.

Sepatutnya, pendirian Malaysia berkenaan Laut China Selatan perlu ditekankan ketika Perdana Menteri memberikan ucapannya kepada Perhimpunan Agung PBB.

Malahan, isu Laut China Selatan ini sepatutnya mendapat kata sepakat anggota-anggota ASEAN dan bukan secara unilateral oleh Malaysia melalui perbincangan langsung yang mengabaikan anggota-anggota ASEAN yang lain.

Asia Tenggara dan ASEAN selama ini, sepakat dalam anggapan bahawa Laut China Selatan adalah warisan bersama yang sebaiknya dikekalkan dan ditadbir bersama. Tetapi ini berlaku sebelum gelombang baru neo-kolonialisme di mana kuasa-kuasa besar cuba mempengaruhi negara-negara Asia satu-persatu demi menjaga kepentingan politik dan ekonomi masing-masing.

Tidak wajar sekiranya Malaysia tidak menetapkan pendirian kita, lalu menunduk kepada kehendak kuasa-kuasa besar semata-mata kerana Malaysia negara kecil.

Kepimpinan global dalam konteks ini harus datang dari negara-negara kecil yang bersatu dan sebulat suara menolak campur tangan asing di perairan kita.

Laut China Selatan telah dipersetujui semua sebagai Zon Damai, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) , dan kita seharusnya nekad menegakkannya. Laut China Selatan adalah warisan bersama masyarakat Asia Tenggara khususnya.

Tanggungjawab ke atas adat-adat dan undang-undang laut perlu kita galas bersama-sama demi kepentingan kita sendiri. Tuntutan oleh negara-negara dari luar Asia Tenggara, harus dilihat sebagai melanggar kedaulatan kita dan harus dianggap sewajarnya.

Kami ingin mencadangkan kepada Menteri Pertahanan, Menteri Luar Negeri dan pucuk pimpinan Malaysia agar mengambil langkah seterusnya dengan memperkuatkan ASEAN Plus dari segi politik dan ekonomi. Secara politik, ASEAN Plus (yang melibatkan kuasa-kuasa besar dunia) dapat berperanan dalam mencegah peperangan antara AS dan China, AS dan Korea Utara, serta konflik di Laut China Selatan serta tempat-tempat lain seperti Timur Tengah.

ASEAN perlu memanfaatkan hubungannya dengan rakan-rakan kongsi ASEAN Plus bagi mendorong agenda politik, ekonomi dan kemanusiaan bersama.

Cadangan Biro Hal Ehwal Antarabangsa adalah:

a) Selaras dengan prinsip-prinsip yang mendasari UNCLOS dan ZOPFAN, kawal selia Laut China Selatan mesti dilakukan dengan tegas oleh anggota ASEAN dan pengecualian hanya setelah persetujuan bersama anggota-anggota ASEAN. Ini bagi melarang sesebuah negara dari bertindak secara sendirian di bawah naungan semangat "Freedom of Navigation” dan operasinya, dengan mewujudkan mekanisme yang seakan sama bagi "menjaga untuk semua Negara keseimbangan kepentingan hukum yang ditetapkan dalam kelaziman undang-undang antarabangsa seperti yang dicerminkan di dalam Undang-undang Konvensyen Laut".

b) Di samping itu, walau kapal ketenteraan bertenaga nuklear mungkin dibenarkan melewati Laut China Selatan (tertakluk kepada larangan yang dipersetujui berdasarkan kelaziman undang-undang antarabangsa), latihan ketenteraan yang melibatkan kapal bertenaga  nuklear harus dilarang sama sekali di perairan Laut China Selatan termasuk di perairan yang tidak berpihak.

c) Malaysia dan ASEAN mesti merangka kerangka keselamatan bersama dengan anggota ASEAN Plus termasuk EU, China, Rusia dan India untuk memelihara kedaulatan Asia Tenggara secara khusus dan wilayah Indo-Pasifik pada umumnya untuk mengimbangi tindakan pencerobohan dari mana-mana pihak.

Dasar keseluruhan yang mengukuhkan dan mengikat perpaduan dan kestabilan Asia akan menguntungkan Malaysia.

*Tariq Ismail ialah Ketua Biro Hal Ehwal Antarabangsa Dan Ahli Majlis Eksekutif Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)*