Oleh Kamaruddin Hussain

KUALA LUMPUR, Malaysia--Hari ini kami ingin melahirkan rasa sedih dan kecewa di atas ketidaksungguhan semua Menteri Pengangkutan baik dari BN, PH, PN dan kini Keluarga Malaysia dalam menyelesaikan masalah yang kami hadapi.

Industri perkhidmatan dan pengangkutan darat negara adalah salah satu sektor yang selama ini telah menyumbang kepada keberhasilan negara, namun malangnya sejak berpuluh tahun yang lalu kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan dilihat sama sekali tidak mempunyai hati untuk menyelesaikan masalah apatah lagi menjaga kebajikan kami.

Sebagai contoh, kami telah menghantar 15 surat kepada Menteri merayu simpati Menteri untuk mengadakan sesi perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu ketidakadilan di antara teksi dan e-hailing, namun sehingga kini Menteri masih berdolak-dalih dan tidak mahu mengadakan sesi perbincangan dengan kami. Begitu juga dengan nasib rakan-rakan pemain industri yang lain seperti pemandu lori, bas, bas sekolah, e-hailing dan juga p-hailing.

Kami telah berkhidmat di dalam industri perkhidmatan dan pengangkutan negara sejak pemerintahan kerajaan BN, PH, PN dan kini Keluarga Malaysia, kami tidak nampak seorang pun Menteri Pengangkutan yang dilantik dari orang politik mempunyai kesungguhan menyelesaikan masalah mahupun membela kebajikan kami.

Di atas kesedaran itu, kami rasa sudah tiba masanya untuk kami semua bersatu hati memperjuangkan nasib kami sendiri, kami tidak lagi boleh bergantung harap kepada orang-orang politik yang tidak pernah merasai keperitan dan kepayahan kami untuk membela nasib kami.

Maka itu, hari ini kami telah mengadakan satu perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin persatuan Teksi, Lori, Bas, E-hailing dan P-Hailing, kami akan mendraf satu memorandum bersama dengan mencatatkan segala masalah yang kami hadapi dan cadangan-cadangan penyelesaian. Di dalam memorandum tersebut kami akan menyenaraikan beberapa tuntutan.

Seterusnya pada 02/02/2022 kami akan mengadakan satu perjumpaan pemain industri perkhidmatan pengangkutan negara secara besar-besaran di dalam stadium yang akan melibatkan pemandu teksi, pemandu lori, pemandu bas, pemandu e-hailing dan p-hailing. Kemudian kami akan menjemput semua Presiden Parti untuk menerima memorandum kami, kami akan beri tempoh 1 bulan kepada semua pihak untuk membuat keputusan.

Kita akan lihat pihak mana yang akan bersedia menerima tuntutan kami, kerana disitulah kita sebagai rakyat Malaysia dapat menilai sendiri pihak mana yang benar-benar tulus ingin menyelesaikan masalah rakyat khususnya masalah kami golongan B40 dari pemain industri perkhidmatan dan pengangkutan negara.

Sebagai timbal balas, kami akan menyeru kepada semua rakan-rakan pemandu kami diseluruh negara supaya mengenepikan fahaman politik masing-masing dan mengutamakan perjuangan dengan berkempen dan memberi undi kepada pihak yang menerima tuntutan kami.

*Kamaruddin Hussain ialah Presiden Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se-Malaysia (GTSM)*