Oleh Penyumpang INS

KUALA LUMPUR,Malaysia--Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah melancarkan kajian semula pasarannya yang ke-7, bertajuk “Kajian Semula Pasaran di bawah Akta Persaingan 2010 bagi Sektor Pengangkutan di Malaysia (Ekosistem Logistik Pelabuhan dan Waranti Kenderaan Bermotor) hari ini.

Pelancaran Kajian Semula Pasaran ini telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi di pejabat MyCC, Kuala Lumpur.

Kajian Pasaran ini menunjukkan melalui pelbagai bukti dan data mengenai amalan anti-persaingan dalam skop kajian ini dan MyCC juga telah mengemukakan cadangan yang bertujuan untuk membangunkan sistem logistik yang efisien dengan mengurangkan halangan pengawalselian bagi memudahkan kemasukan ke dalam pasaran dan memupuk persaingan di dalam pasaran.

Kajian Pasaran Sektor Pengangkutan ini telah mendapati sejumlah 15 isu dalam ekosistem logistik pelabuhan dan 4 isu dalam waranti kenderaan bermotor yang terdiri daripada isu persaingan, isu yang didorong oleh pasaran dan isu pengawalseliaan di dalam sektor pengangkutan terpilih.

Isu-isu yang didapati dalam laporan ini juga menimbulkan kesulitan di beberapa bidang, dan tindakan segera perlu dilaksanakan bagi mengatasi cabaran-cabaran ini. MyCC telah mengusulkan lebih daripada 30 cadangan untuk mengatasi isu-isu serta memperbaiki situasi di dalam pasaran yang dikaji.

Antara cadangan yang dikemukakan bagi subsektor Ekosistem Pelabuhan Logistik termasuklah:

i. Bagi MyCC menggunakan kuasa penguatkuasaannya untuk menentukan sama ada berlakunya kartel dalam penetapan landside charges, shipping liner charges, depot gate charges, dan Fuel Adjustment Factor.

ii. Mengubah dasar dalam perjanjian konsesi bagi operator pelabuhan.

iii. Menyelesaikan masalah pengawalseliaan dan isu yang didorong oleh pasaran yang berkaitan dengan prosedur kastam, rangka pengawalseliaan, penyeragaman dan pelesenan pemain industri off-dock dan on-dock; serta memberikan kuasa kawalan penggabungan dan pengambilalihan kepada MyCC.

MyCC juga telah mencadangkan beberapa penambahbaikan dalam pasaran Waranti
Kenderaan Bermotor seperti:

i. Menggunakan kuasa penguatkuasaan MyCC untuk menentukan sama ada urus niaga pengeluar kereta dalam industri pembaikan menimbulkan isu berkaitan persaingan.

ii. Memperkenalkan Lemon Law dan menambahbaik proses waranti bagi melindungi kepentingan pemilik kenderaan.

"Hasil kajian ini secara jelas telah menunjukkan bahawa dasar dan peraturan yang jelas bersifat pro-persaingan serta persekitaran perniagaan yang kondusif adalah penting bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna.

Peningkatan persaingan akan diterjemahkan kepada pertumbuhan produktiviti, dinamik perniagaan dan inovasi, di mana semua ini adalah penting untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi setelah pandemik,” kata Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC dalam merujuk kepada faedah dan kepentingan persaingan dalam pasaran berkaitan.

Setelah pelancaran Kajian Pasaran ini, MyCC bersama Organisation for Economic Cooperation dan Development (OECD) juga telah melancarkan laporan “OECD Competition Assessment Reviews: Logistics Sector in Malaysia” dan “OECD Competitive Neutrality Reviews: Small Package Delivery Services in Malaysia”.

Kedua-dua laporan ini memperincikan kajian terhadap pengawalseliaan dan undang-undang di dalam sektor logistik serta memberikan pandangan terhadap analisis ke atas peranan dan kesan syarikat milik kerajaan kepada persaingan dalam penghantaran pakej kecil, yang penting dalam membantu pertumbuhan dalam e-dagang.

MyCC percaya bahawa cadangan daripada Kajian Pasaran ini, jika dilaksanakan sepenuhnya, akan memberikan kesan positif yang besar terhadap ekonomi Malaysia, dan seterusnya melindungi kepentingan pengguna.

Rangka tindakan cadangan Kajian Pasaran ini juga akan memberi kesan positif jangka panjang terhadap pekerjaan, produktiviti, pertumbuhan dan daya saing perniagaan di Malaysia dalam industri yang berkaitan.

Kajian Pasaran dan kedua-dua laporan OECD boleh didapati di www.mycc.gov.my.
https://www.mycc.gov.my/