Oleh Penyumbang INS

PUTRAJAYA,Malaysia--Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini memeterai perjanjian bersama Telekom Malaysia bernilai RM 515,160.00 bagi kontrak Perkhidmatan Sewaan Talian Komunikasi Aeronautical Message Handling System (AMHS) Sistem Cospas-Sarsat untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Ogos 2021 hingga 31 Julai 2024.

Dengan pemeteraiannya perjanjian ini membolehkan Maritim Malaysia meneruskan perkhidmatan sebagai Koordinator Kebangsaan Mencari dan Menyelamat Maritim (CARILAMAT) secara professional berteraskan teknologi dan perkongsian maklumat melalui sistem Cospas–Sarsat yang dikendalikan Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) berpangkalan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kuantan.

Perkhidmatan talian AMHS ini merupakan platform yang menghubungkan MYMCC dengan Australia Mission Control Centre (AUMCC) yang bertindak sebagai Nodal kepada sistem Cospas-Sarsat Malaysia dan MCC lain.

AMHS juga berupaya menguruskan pangkalan data berkaitan sebarang maklumat atau amaran kecemasan yang berlaku antara MCC seluruh dunia yang menggunakan sistem Cospas-Sarsat.

Secara ringkasnya, sekiranya beacon kecemasan seperti EPIRB (kapal), ELT (pesawat) atau PLB (individu) yang mempunyai kod pendaftaran (country code) Malaysia mengalami kecemasan di Eropah atau di negara lain yang menerima maklumat kecemasan tersebut akan turut dihantar ke MYMCC melalui talian ini.

Kemudahan ini bakal dimanfaatkan komuniti maritim tempatan termasuklah kapal-kapal dagang yang melalui perairan Malaysia.

Usaha ini juga merupakan salah satu Pelan Strategik jangka panjang Maritim Malaysia dalam meningkatkan keupayaan operasi CARILAMAT yang menjadi salah satu teras objektif agensi.

Justeru, dengan adanya talian AMHS ini perkongsian maklumat antara negara sekiranya berlaku sebarang kecemasan yang melibatkan warganegara kita di luar negara atau warga asing di negara kita maklumat berikut dapat dikongsikan kepada negara mereka dan ini memudahkan pasukan penyelamat untuk berkongsi maklumat dan seterusnya melaksanakan operasi CARILAMAT dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu, Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana juga turut melancarkan buku Pelan Strategik Search and Rescue Maritim Malaysia yang akan menjadi rujukan hala tuju bahagian CARILAMAT serta penerbitan Buletin CARILAMAT edisi 1/2021 yang memaparkan artikel berkaitan CARILAMAT, insiden di laut serta tips-tips keselamatan di laut turut dilancarkan oleh bahagian tersebut secara dwi tahunan dengan buku ini akan diedarkan kepada institusi pendidikan serta komuniti maritim sebagai salah satu inisiatif Agensi dalam meningkatkan kesedaran keselamatan di laut dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia juga turut menyampaikan penghargaan kepada Komander Maritim Dr. Suzanna Razali Chan atas kejayaan beliau memenangi tempat kedua dalam kategori women in SAR award anjuran International Maritime Rescue Federation (IMRF) baru-baru ini.