Oleh Piarapakaran S.

KUALA LUMPUR, Malaysia--Apabila kerajaan memulakan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN) pada tahun 2003, ia adalah untuk memperbaiki industri yang bermasalah ini yang kuat dipolitikkan dan beroperasi dengan pelbagai model yang gagal.

Kegagalan terakhir adalah Indah Water Konsortium (IWK) diselamatkan (bail out) dengan menggunakan wang pembayar cukai pada 2001. PSIPAN dilaksanakan dengan menggunakan model Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

Salah satu komponen utama PSIPAN adalah menangani isu pembiayaan dan menebus semula kos (melalui tarif air) untuk mencapai industri perkhidmatan air yang cekap dan lestari. Maka, Mekanisme Penetapan Tarif  (Tariff Setting Mechanism - TSM) yang telus dan saksama telah dibangunkan dan dipersetujui pada tahun 2009.

Proses Semakan Semula Tarif Sudah Selesai dalam 2 Fasa

Menteri Alam Sekitar dan Air dipetik dalam berita (Berita Harian, 16 Oktober 2021) bahawa kementeriannya sedang menyediakan TSM yang telus dan adil untuk industri perkhidmatan air di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Beliau mungkin telah diperdaya oleh pegawai kementeriannya dan pegawai-pegawai dari bahagian tarif di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

TSM telah ditetapkan pada tahun 2009 dan mekanisme lengkap berdasarkan penanda aras telah siap selepas beberapa tahun di mana AWER telah terlibat dalam proses tersebut.

Semasa tempoh peralihan, beberapa semakan semula tarif telah dilakukan berdasarkan mekanisme “tambah ke atas kos” (cost plus). Mekanisme “tambah ke atas kos” ini menggunakan kos yang dianggarkan dan diserahkan oleh syarikat air negeri dan menambah dengan marjin keuntungan yang dikawal selia.

Mekanisme ini adalah cara kuno untuk menetapkan tarif yang sepatutnya digantikan dengan mekanisme penanda aras di bawah model WSIA. Untuk makluman menteri (sekiranya beliau tidak tahu) dan orang ramai, 2 proses perundingan semakan semula tarif telah pun dijalankan dan selesai.

Proses perundingan semakan semula tarif pertama bermula pada Disember 2018 dan berakhir pada Mei 2019 untuk Pahang, Perlis, Labuan, Terengganu, Kelantan dan Selangor (termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya).

Proses perundingan semakan semula tarif kedua telah dilakukan pada pertengahan tahun 2021 melalui proses atas talian yang kurang telus untuk Kedah, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Melaka.

SPAN telah mengesahkan dengan AWER bahawa tidak akan ada proses perundingan baru untuk proses perundingan semakan semula tariff pertama yang telah siap pada 2019. AWER juga telah menolak semua permohonan semakan semula tarif bagi semua negeri disebabkan oleh kedegilan SPAN dalam menggunakan mekanisme " tambah ke atas kos" kuno yang tidak telus dan menyalurkan kos yang tidak perlu kepada pengguna.

Maka, persoalan yang timbul sekarang ialah sama ada menteri tersebut telah berbohong kepada media atau kementerian dan SPAN telah berbohong kepadanya mengenai proses semakan semula tarif yang membawa kepada percubaan untuk memperdayakan Keluarga Malaysia?

Apakah itu TSM yang Telus dan Saksama?

TSM adalah mekanisme yang mesti dilaksanakan oleh SPAN untuk memastikan tarif yang saksama dengan semak dan imbang (check and balance) yang mencukupi. TSM melibatkan penandaarasan kos unit ke kos cekap yang terendah. Operasi diklusterkan berdasarkan saiz operasi, kualiti air mentah, teknologi dan lain-lain. Kemudian kos per meter padu (m3) diperoleh dan dibandingkan.

Sebagai contoh, jika kos perawatan terendah dalam suatu kluster perbandingan adalah 11 sen per m3 (per meter padu), syarikat-syarikat air lain yang beroperasi di atas nilai tersebut akan ditanda aras kepada kos terendah.

Katakan loji perawatan lain beroperasi pada kadar 16 sen bagi setiap meter padu, 5 sen tambahan ini bagi setiap meter padu tidak akan dibenarkan untuk disalurkan ke tarif. Begitu juga, semasa kitaran tarif (setiap 3 tahun), jika syarikat air yang beroperasi dengan 11 sen setiap meter padu berjaya mengurangkan lagi kos ke 10.5 sen setiap meter padu, penjimatan ini akan menjadi pendapatan tambahan kepada syarikat air tersebut.

Walau bagaimanapun, apabila kita beralih ke kitaran tarif seterusnya, pengawal selia akan menggunakan 10.5 sen setiap meter padu sebagai penanda aras baru.

Pendekatan ini juga dilakukan terhadap kos kimia, kos elektrik (berdasarkan pelaksanaan kecekapan tenaga), kos sumber manusia dan banyak lagi kos yang dikawal selia yang dibenarkan untuk disalurkan ke tarif.

Ini adalah untuk memacu kecekapan kos dan tarif yang saksama kepada pengguna. TSM juga menetapkan margin keuntungan di bawah peratusan dua digit. SPAN juga boleh mengenakan had ke atas jumlah keuntungan yang diperoleh daripada faedah kecekapan (efficiency perk) dan marjin keuntungan supaya pemulihan kos tambahan ini boleh digunakan secara langsung untuk menyelesaikan pembayaran pajakan bagi infrastruktur-infrastruktur berliabiliti dan bukannya sebagai bonus tambahan kepada kakitangan atau aktiviti-aktiviti pembaziran lain dalam industri perkhidmatan air.

Mengapakah TSM Dilengah-lengahkan?

SPAN telah melengkapkan TSM tetapi pada masa ini enggan menggunakan TSM bagi semakan semula tariff.  SPAN menggunakan kaedah "tambah ke atas kos" yang merupakan kerja culas di mana SPAN meluluskan semakan tarif yang dicadangkan dengan margin keuntungan sahaja. AWER telah menentangnya sejak 2018 ketika SPAN mula melakukan proses perundingan semakan semula tarif.

Tahun ini terdapat proses perundingan dengan kekurangan maklumat dan dilakukan atas talian. SPAN juga menyimpang daripada objektif asal model WSIA dan PSIPAN. Penyelesaian yang baik telah pun digariskan dalam model WSIA untuk manfaat negara dan rakyat kita. Malangnya, bahagian tarif di bawah SPAN memberi alasan-alasan yang bebal untuk terus melaksanakan mekanisme “tambah ke atas kos” yang jelas bertentangan dengan objektif pembentukan SPAN.

Apa yang Kerajaan Mesti Buat?

(i) Tetapkan tarikh pelaksanaan tarif baru pada 1 Julai 2023. Ini akan memberi SPAN masa yang cukup untuk melaksanakan TSM yang telus dan saksama berdasarkan kaedah penandaarasan yang dipersetujui. Ini juga penting untuk membolehkan proses pemulihan negara akibat pandemik Covid-19. Kementerian Kewangan (MOF) juga mesti membantu Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mengenai komitmen pembayaran hutang tahunan PAAB agar penilaian (ratings) PAAB tidak terjejas.

(ii) Rombakan bahagian tarif di bawah SPAN mesti dilakukan. Kerajaan mesti membuang pegawai-pegawai yang menentang pelaksanaan model WSIA dan PSIPAN dengan segera. Individu-individu jenis ini memudaratkan kelangsungan keseluruhan industri perkhidmatan air dan tidak sepatutnya dibenarkan berkhidmat di SPAN atau mana-mana agensi lain yang berkaitan dengan air.

(iii) Kenal pasti pegawai-pegawai yang telah berbohong dan memperdayakan menteri bahawa TSM yang "telus dan adil" sedang dibangunkan sedangkan SPAN masih menggunakan model kuno dan proses perundingan semakan semula tariff telah pun selesai. Semua pegawai-pegawai yang telah berbohong hendaklah dibuang kerja dengan segera. Pegawai-pegawai ini juga akan memberikan maklumat "palsu" atau "mengelirukan" yang akan memberi kesan kepada keputusan kabinet sekiranya mereka masih memegang jawatan.

(iv) Memandangkan pelanjutan konsesi Indah Water Konsortium (IWK) bertentangan dengan model WSIA dan PSIPAN, selepas tamat tempoh perjanjian konsesi IWK yang lama pada 31 Mac 2022, IWK secara rasminya tidak boleh mengutip bil pembetungan. Oleh itu, IWK mesti dipecahkan menjadi entiti berasaskan negeri dengan segera dan proses penandaarasan kos mesti dijalankan. SPAN mempunyai lebih daripada 18 bulan untuk menyelesaikan penandaarasan dan menggabungkan IWK dengan syarikat air negeri secara berperingkat mengikut model WSIA dan PSIPAN.

(v) Penggabungan bil air dan pembetungan di bawah satu bil untuk perkhidmatan air (perawatan air, bekalan air dan pembetungan) mesti dilaksanakan mengikut model WSIA dan PSIPAN. Semua bil baru mulai 1 Julai 2023 mesti dipecahkan kepada kos unit perawatan air, bekalan air dan pembetungan.

*Piarapakaran S. ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)*