Oleh Haniff Khatri

KUALA LUMPUR, Malaysia--Pada awal petang tadi, Rabu (Jan. 5) Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM iaitu Tan Sri Abu Zahar Ujang telah mengadakan satu Sidang Media berhubung alegasi yang telah ditampilkan sejak beberapa minggu lalu terhadap Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki, sepertimana yang dilaporkan Malaysiakini bertajuk "Panel SPRM: Adik guna akaun Azam Baki untuk beli saham" :

"Pada sidang media hari ini, pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang berkata Azam hadir dalam pertemuan dengan lembaga itu pada 24 Nov lalu untuk memberikan penjelasan. Saham itu telah dipindahkan kepada adiknya, Nasir Baki.

"Abu Zahar berkata mereka berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa dia tidak mempunyai manfaat kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut."

Laporan lengkap di sini.


Secara awalan, perlu kita memahami dan menghargai bahawa tindakan Lembaga Penasihat SPRM untuk mengadakan satu Sidang Media untuk memaklumkan kepada orang awam akan "pendapat" mereka berkaitan isu alegasi ini, adalah satu tindakan yang sihat dan bertanggungjawab selari dengan skop dan tanggungjawab Lembaga Penasihat sepertimana ianya wujud di bawah Seksyen 13 Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Namun, pada masa yang sama, "pendapat" Lembaga Penasihat ini tidak memuktamadkan isu alegasi berkaitan, kerana "pendapat" itu tidak mempunyai kesan dari sudut perundangan berkaitan konsep siasatan jenayah, dan oleh itu wajar difahami Rakyat, bahawa isu alegasi itu masih terbuka kepada pihak yang bertanggungjawab mengarahkan mana-mana cara terbaik dan menubuhkan mana-mana badan terbaik untuk terus melakukan siasatan menurut prinsip perundangan dan kedaulatan undang-undang negara kita.

Sepertimana yang telah saya nyatakan dalam video di Siri: 3104 dan seperti yang dipetik dan dilaporkan oleh Sinar Harian bertajuk "Tubuh Jawatankuasa Siasatan Khas siasat Azam Baki"(Siri : 3106), apabila Lembaga Penasihat SPRM telah memajukan Laporan mengenai "pendapat" mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelak, seperti yang disahkan akan dilakukan oleh Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam sidang media itu, maka Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar dalam mematuhi prinsip perundangan dan kedaulatan undang-undang meminta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harus untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan Khas yang dianggotai tiga individu, yang dicadangkan masing-masing oleh Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Lembaga Penasihat SPRM, yang wajar diberi tempoh selama enam (6) minggu untuk menyiasat dan memajukan Kertas Siasatan terus kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut, tertakluk kepada hasil siasatan, seperti yang diperincikan dalam huraian saya di dalam Video Siri : 3104 itu.

Bebas daripada "pendapat" Lembaga Penasihat SPRM itu, isu ada ataupun tidak, apa-apa unsur kesalahan jenayah mahupun perlanggaran mana-mana regulasi perjawatanan awam, akan tertakluk kepada pelbagai persoalan yang berbangkit dan perlu disiasat daripada kenyataan Tan Sri Azam Baki itu, yang mana antara lain adalah :

a. Apakah alasan sebenar pegangan saham dalam jumlah lebih 2 juta unit dalam syarikat awam terbabit dimiliki oleh adik Tan Sri Azam Baki, tetapi di  atas nama Ketua Pesuruhjaya itu antara tempoh 2015 hingga 2016 ?

b. Adakah terdapat apa-apa siasatan jenayah yang wujud pada ketika itu terhadap mana-mana pihak dalam Syarikat Awam terbabit, sama ada Ahli Lembaga Pengarah mahupun Pemegang Saham lain ataupun Syarikat Awam itu sendiri, yang mendorong kepada pegangan saham itu ?

c. Adakah terdapat sumber dana sah di tangan adik Tan Sri Azam Baki untuk memiliki pegangan saham sejumlah itu ?

d. Adakah pegangan saham oleh seorang individu di atas nama orang lain, boleh berbentuk kesalahan jenayah di bawah mana-mana peruntukan perundangan pemilikan saham awam yang di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti, mahupun Bursa Saham Kuala Lumpur ?

Penampilan persoalan-persoalan di atas, tidak dihasratkan untuk menzahirkan mana-mana anggapan salah kononnya wujud apa-apa keadaan negatif perihal alegasi yang ditampilkan terhadap Tan Sri Azam Baki itu, tetapi persoalan-persoalan seperti itulah yang perlu disiasat dengan terperinci menurut konsep kedaulatan undang-undang, hasil daripada kandungan "pendapat Lembaga Penasihat SPRM dan Kenyataan lanjut Tan Sri Azam Baki sendiri.

Hatta, demi kepentingan dan pengukuhan prinsip kedaulatan undang-undang, ianya adalah teramat penting bahawa langkah terbaik kini, selepas Sidang Media Lembaga Penasihat SPRM tadi, adalah untuk ditubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan Khas seperti yang dinyatakan di Perenggan 4 di atas, dan seperti yang dihuraikan dalam Video di Siri : 3104 itu.

Pada hakikatnya, terdapat  contoh duluan sebelum ini, di mana bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah pada 2015 menubuhkan satu Pasukan Siasatan Khas berkaitan 1MDB yang dianggoti Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sendiri, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bagi tujuan permulaan proses siasatan menyeluruh berkaitan skandal 1MDB, pada ketika itu.

Link Laporan

Justeru, ianya adalah terpenting untuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun untuk bertindak dengan tegas dan segera dalam pembentukan Jawatankuasa Siasatan Khas untuk menyiasat isu alegasi terhadap Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki untuk meyakinkan Rakyat bahawa tanpa mengambil kira kedudukan pihak yang diadu itu, prinsip kedaulatan undang-undang masih dipatuhi untuk siasatan dijalankan oleh satu badan bebas daripada agensi berkaitan iaitu SPRM dalam kes ini, supaya tiada timbulnya kekhuatiran "konflik kepentingan" atau kerisauan "campurtangan salah" dalam siasatan berkaitan.

Walhal, jika tidak bersalah, semestinya Tan Sri Azam Baki juga mempunyai hak untuk namanya dibersihkan menurut proses yang telus, tepat dan betul, yang menuruti dan mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang!