Oleh BERSIH

KUALA LUMPUR, Malaysia: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengecam sekeras-kerasnya percubaan mengancam nyawa peguam dan aktivis Siti Zabedah Kasim melalui pemasangan bahan letupan termampat (IED). Bom tersebut ditemui di tayar belakang kereta semasa sedang diselenggara oleh juruteknik kereta. Unit Pemusnah Bom mengesahkan bahawa bom tersebut adalah IED.

Walaupun masih belum dapat dipastikan sama ada ancaman ini bersifat politik, perniagaan atau peribadi, percubaan bom terhadap Siti perlu diklasifikasikan sebagai ‘keganasan terhadap pembela hak asasi manusia dan golongan profesional’, yang sering terjadi kepada ahli politik, peguam, wartawan dan lain-lain profesion yang bekerja untuk kepentingan umum di negara yang authoritarian.

Kerajaan perlu menunjukkan sikap sifar toleransi terhadap percubaan bunuh menggunakan bom kepada Siti, yang merupakan satu tindakan keganasan yang boleh menyakiti orang lain. Sekiranya perkara ini menjadi satu trend, ia akan menyebabkan kemudaratan seperti penggunaan sentimen 3R. PM Anwar Ibrahim perlu menyatakan pendirian yang jelas bahawa beliau akan mencantas percubaan ini daripada akarnya sebelum tindakan keganasan ini menjadi sebahagian daripada budaya politik masyarakat kita.

Siti bukanlah mangsa pertama yang menjadi sasaran keganasan terhadap pembela hak asasi manusia dan golongan profesional di Malaysia. Sebelum ini Bill Kayong di Sarawak, seorang aktivis hak orang asal seperti Siti, telah dibunuh pada 2016 namun hanya pembunuh upahan tersebut yang dihukum mati manakala tiga ahli perniagaan yang lain yang turut didakwa, termasuk seorang yang lari ke Australia masih bebas (1). Mantan Pengerusi, Maria Chin Abdullah juga pernah menerima ugutan dengan peluru dan darah.

Kerajaan perlu memastikan bahawa Siti kasim tidak mendapat nasib yang sama seperti Bill Kayong dan perlu menyediakan pengawal kepada beliau jika diminta. Kami memuji pihak polis yang menangani isu ini dengan serius tetapi perlakuan keganasan begini hanya boleh ditamatkan jika pelaku dan yang bersekongkol dengannya ditangkap, didakwa dan dijatuhkan hukuman.

Menghentikan keganasan yang disasarkan kepada pembela hak asasi manusia dan golongan profesional adalah tanggungjawab semua pihak, ahli politik, masyarakat sivil dan pemimpin pendapat (opinion leaders). Jika perlakuan ini dilihat cara yang berkesan untuk membungkan suara dan kritikan, semua orang boleh menjadi mangsa seterusnya.  

Kami menggesa media, badan profesional dan kumpulan masyarakat sivil untuk bersuara dan memantau respon Perdana Menteri, Menteri KDN, pemimpin parti dan ahli politik agar kita dapat melihat pelaku percubaan keganasan ini dibawakan ke muka pengadilan. Para wartawan perlu ingat bahawa jika Malaysia tergelincir ke arah negara seperti Rusia dan Filipina, wartawanlah yang akan menjadi salah satu profesion yang paling berbahaya.